BANGGI: Pengalaman semata-mata tidak membawa apa-apa makna jika masalah rakyat masih tidak mampu diselesaikan.
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Banggi, Rahimah Majid berkata, meskipun beliau berdepan pesaing berpengalaman, apa yang lebih penting ialah keupayaan seorang wakil rakyat bekerja rapat dengan penduduk dan memahami isu yang membelenggu kehidupan mereka setiap hari.
“Antara semua calon, saya antara yang berpengalaman. Tetapi pengalaman tidak bermakna jika isu rakyat masih tidak selesai.
“Saya menawarkan pendekatan segar, kerja yang lebih dekat dengan pengundi dan penyelesaian yang praktikal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam tempoh akhir kempen, beliau memberi tumpuan bertemu pengundi yang masih ragu-ragu, khususnya berkaitan isu asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, ekonomi, pendidikan dan kebajikan.
“Semua komitmen yang diberikan kepada penduduk adalah realistik dan berdasarkan kemampuan sebenar, bukan sekadar janji ketika pilihan raya,” katanya.
Mengulas mengenai serangan politik yang diterimanya, beliau memilih untuk kekal profesional dan tidak membalas serangan peribadi.
“Serangan memang biasa menjelang pilihan raya, tetapi saya fokus pada kerja dan rekod khidmat saya. Pengundi kini bijak menilai siapa yang bekerja dan siapa yang hanya menyerang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengundi, terutama golongan muda, bahawa undi mereka pada Sabtu ini akan menentukan masa depan pembangunan di Banggi.
“Sekiranya diberi mandat, saya menetapkan beberapa fokus utama, termasuk menyelesaikan isu infrastruktur asas, masalah dokumentasi, isu tanah, memacu pembangunan tempatan, memperkasa wanita dan belia melalui peluang ekonomi serta memastikan kebajikan komuniti terus menjadi keutamaan,” katanya.-UTUSAN










