Pengalaman lihat bapa sakit jadi pembakar semangat

Lihat bapa sakit bakar semangat muncul penerima Anugerah Terbaik Fakulti Perubatan UniSZA

AMIR Zahid Azhar (tengah) memperoleh Anugerah Terbaik Fakulti Perubatan dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan Kesihatan pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-17 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Siapa sangka pengalaman melihat bapanya yang terlantar sakit di hospital ketika di tingkatan tiga menjadi titik tolak buat Amir Zahid Azhar, 23, memilih bidang kesihatan sehingga kini bergelar penerima Anugerah Terbaik Fakulti Perubatan pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-17 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, kampus Gong Badak, di sini, semalam.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan Kesihatan itu berkata, minatnya terhadap dunia perubatan mula berputik apabila melihat sendiri kepantasan dan ketenangan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) memberi rawatan kepada bapanya di Jabatan Kecemasan.

“Saya masih ingat waktu ayah sakit pada 2017, orang pertama yang membantu ialah mereka (PPP). Dari situ saya mula tertanya-tanya siapa mereka sebenarnya dan timbul rasa kagum dengan tugas mereka,” katanya ketika ditemui. 

Menurut Amir Zahid, meskipun hanya memperoleh keputusan 4A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan CGPA 3.4 ketika di Kolej Matrikulasi Perak, ia tidak mematahkan semangat untuk terus mengejar cita-cita dalam bidang perubatan.

“Ramai anggap bidang kesihatan ini hanya tertumpu kepada doktor dan jururawat sedangkan cabangnya jauh lebih luas. Saya hendak buktikan bahawa kerjaya ini juga boleh berjaya dan memiliki kelayakan akademik tinggi,” katanya yang menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.70 sekali gus menerima Pingat Al-Razi sebagai pengiktirafan kecemerlangan.

Mengimbas cabaran sepanjang pengajian, Amir Zahid mengakui pengalaman sebagai pelajar kohort pertama bukanlah mudah kerana perlu menyesuaikan diri dengan struktur baharu yang masih dalam penambahbaikan.

“Kadangkala ketika turun ke hospital, kami tidaj tahu apa nak buat sebab belum ada rujukan daripada senior. Tetapi saya pegang prinsip kalau hendak berjaya, jangan malu bertanya dan terus belajar,” ujarnya.

Katanya, pesanan daripada penyelia klinikal agar tidak lokek berkongsi ilmu menjadi pegangan hidupnya hingga kini.

“Dia kata kalau kita kongsi ilmu, kita tidak akan rugi sebab ilmu itu terus berkembang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN