KANGAR: Penggunaan kaedah bay-lock ataupun pengunci petak parkir bagi menggantikan penggunaan palang dalam sistem parkir pintar di negeri ini dijangka menelan belanja sehingga RM1.8 juta.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, syarikat pengendali sebelum ini memaklumkan hanya mampu menanggung sebanyak 1,000 petak parkir bagi penggunaan bay-lock mengikut kontrak.
Katanya, setiap satu petak parkir menggunakan kaedah itu menelan belanja sekitar RM3,000.
“Kos keseluruhan adalah sekitar RM1.8 juta bagi penggunaan sistem bay-lock melibatkan sebanyak 6,000 petak parkir sekitar negeri ini.
“Sebab itu, kami akan perhalusi selepas ini apa kaedah yang akan cuba diperkenalkan oleh pihak syarikat membabitkan pelaksanaan sistem parkir pintar tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Affendi Rajini berkata, MPK menanggung kerugian lebih RM2 juta sepanjang hampir setahun penangguhan sistem parkir pintar di Perlis sebelum ini.
Katanya, biar pun tidak mengeluarkan sebarang modal bagi pelaksanaan itu namun MPK terpaksa menanggung kerugian berikutan syarikat pengendali tidak dapat melaksanakan kutipan caj parkir sepanjang penangguhan.
Beliau berkata, MPK juga akan mengeluarkan surat kepada pihak syarikat pengendali bagi memaklumkan bahawa pengoperasian parkir pintar itu dapat dijalankan segera susulan penarikan semula penangguhan berkenaan oleh kerajaan negeri.
“Sebenarnya kami sudah keluarkan surat kepada syarikat terlibat bahawa penangguhan telah ditarik balik dan MPK juga akan keluarkan satu lagi surat agar pelaksanaan operasi parkir itu dapat dijalankan segera mengikut cara atau kaedah dicadangkan oleh syarikat.
“Buat masa ini, sebelum kami mencapai satu kata putus secara bersama berhubung pelaksanaan ini, kalau pihak syarikat hendak buat kutipan parkir itu ikut cara mereka contohnya seperti gunakan sistem resit maka kami kena ikut dan terpulang pada mereka,” katanya.
Affendi Rajini berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dan kerajaan negeri akan melihat kaedah paling bersesuaian dalam pelaksanaan tersebut agar tidak membebankan rakyat.-UTUSAN.










