MARAN: Seorang pelajar tingkatan empat dari Felda Melati Jengka 11 di sini, mencetuskan fenomena di ruang digital apabila rakaman persembahan gitarnya di TikTok meraih purata sekitar dua juta tontonan bagi setiap video.
Malah, terdapat videonya melonjak sehingga 27 juta tontonan sekali gus menggegar laman For You Page (FYP).
Pemilik akaun TikTok @aimangitar254 atau nama sebenarnya, Aiman Danish Iskandar Mohd. Khairul Izuan, 16, kini semakin menjadi sebutan dalam kalangan peminat muzik tanah air apabila bakatnya itu berjaya menambat hati ramai tanpa sebarang gimik.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kejayaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Jaya, Maran itu membuktikan bahawa Felda juga mampu mencungkil bakat besar dalam sektor seni dan ekonomi kreatif.
“Ini membuktikan anak Felda mempunyai potensi luar biasa jika diberikan ruang dan sokongan sewajarnya. Mereka bukan sahaja mampu berdikari, malah boleh mencipta fenomena di peringkat nasional,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengunjungi Aiman Danish Iskandar di Felda Melati Jengka 11.
Aiman Danish Iskandar turut menerima gitar yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap bakat muda anak Felda yang semakin menyerlah.
Amizar berkata, pertemuan dengan Aiman Danish Iskandar membuktikan keperibadiannya yang merendah diri seiring kematangan permainan gitarnya.
“Lebih membanggakan, dia merupakan anak jati Pahang yang lair di Temerloh dan cucu kepada peneroka Felda Ulu Jempol, Wilayah Jengka,” katanya.
Ibunya remaja itu pula merupakan seorang guru manakala bapanya pula bekas graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sekali gus menjadikan seni muzik sebati dalam jiwa remaja itu sejak daripada kecil.-UTUSAN.










