GOMBAK: Penduduk di kampung Batu 11, Gombak merayu campur tangan segera kerajaan negeri dan pemimpin politik selepas hanya diberikan tempoh sebulan untuk mengosongkan kediaman masing-masing susulan notis kedua dikeluarkan Jabatan Perhutanan Selangor baru-baru ini.
Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Rantau Utara Batu 11, Norfahizariha Darus, 37, berkata, mereka sebelum ini menerima notis pertama pada 15 Oktober tahun lalu melibatkan 24 buah rumah, namun tindakan perobohan ditangguhkan tanpa tarikh baharu.
Bagaimanapun, pada 9 Oktober lalu, penduduk sekali lagi menerima notis yang mengarahkan rumah dikosongkan selewat-lewatnya pada 10 November ini menjadikan tempoh masa diberikan terlalu singkat untuk berpindah.
“Kami sudah berusaha sehabis baik. Surat dihantar kepada ketua kampung, penghulu, pejabat daerah, pejabat Menteri Besar termasuk pejabat politik Timbalan Perdana Menteri. Malah, salinan turut diserahkan kepada pihak perhutanan dan masjid.
“Kami bukan mahu melawan, cuma mohon sedikit penangguhan kerana dalam masa sesingkat ini kami tidak mampu mencari rumah lain,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Gombak Batu 11, Normala Baharim, 38, berkata, pihaknya turut membuat laporan polis bagi melindungi diri sebagai wakil penduduk sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Normala menjelaskan, sidang akhbar itu diadakan bukan bertujuan menentang pihak berkuasa, tetapi bagi menarik perhatian pemimpin supaya turun padang mendengar rintihan rakyat yang semakin terdesak.
“Sekarang sudah tinggal sembilan hari sahaja lagi. Kami sudah naik turun pejabat, tapi belum ada satu pun jawapan pasti. Ke mana kami hendak pergi selepas rumah dirobohkan?” katanya.
Tambah Normala, majoriti penduduk yang terlibat terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan warga emas yang tidak berkemampuan untuk menyewa rumah lain dalam masa singkat.
“Selepas notis pertama dikeluarkan tahun lepas, ada seorang bapa jatuh sakit jantung sebab terlalu tertekan. Rumah kami bukan besar, tapi itulah satu-satunya tempat berteduh keluarga.
“Kalau hendak pindah sekarang, sewa rumah sekitar sini pun mencecah RM900 sebulan. Tambah pula deposit dua bulan dan satu bulan air, jumlahnya lebih RM3,000 belum termasuk upah lori dan kos memindahkan barang,” katanya. – UTUSAN










