Pendidikan gagal membentuk nilai kemanusiaan - Utusan Malaysia

Pendidikan gagal membentuk nilai kemanusiaan

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan berhubung peristiwa-peristiwa hitam yang berlaku dalam alam persekolahan membabitkan anak-anak di bawah usia 17 tahun.

Baginda bertitah, insiden tragis melibatkan buli, keganasan, rogol, kematian dan pembunuhan yang dilakukan oleh remaja bawah umur itu disifatkan sebagai kegagalan pendidikan dalam memenuhi peranannya membentuk nilai kemanusiaan yang mengakibatkan krisis jiwa dan gangguan emosi.

Titah baginda, sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak, kini terdedah kepada pelbagai suasana yang mengancam keselamatan.

“Krisis kemanusiaan sedang berlaku di tempat yang paling selamat buat anak-anak. Krisis yang berlaku hari ini tidak adil dipolemikkan dan dipolitikkan untuk mempersalahkan kepimpinan semasa.

“Secara jujur dan secara ikhlas, kita hendaklah berani mengakui bahawa sel-sel barah yang telah tumbuh membesar hingga ke tahap kritikal, bermula dengan sel kecil, berhimpun secara kumulatif untuk sekian lamanya, mungkin disebabkan kealpaan kita mencegah di peringkat awal secara berkesan, secara bersungguh,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Sultan Nazrin bertitah, sifat penafian yang berterusan serta keengganan untuk mengakui kesilapan, ditambah pula dengan ego yang sukar menerima teguran dan enggan berubah, menjadi antara punca utama kelemahan dalam sistem sedia ada.

Malah titah baginda, sikap kompromi dan kurang keberanian untuk bertindak tegas melakukan pembetulan turut menyuburkan ‘sel barah’ yang membolehkan kelemahan itu terus merebak tanpa kawalan.

“Matlamat suci sebenar pendidikan mungkin telah lama kita alpakan kerana terlalu taksub memberi fokus untuk mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) berbentuk kuantitatif, pada harga mengorbankan komponen kualitatif,” titah baginda.

Titah baginda, pendidikan tidak sekadar untuk memenuhi agenda melahirkan siapa yang paling pandai, tetapi lebih penting untuk melahirkan siapa yang paling insani.

“Apakah penekanan yang terlalu memberatkan KPI pencapaian gred peperiksaan telah menyebabkan falsafah asas dan tujuan sebenar pendidikan kini tersisih? Adakah kita terlalu tertumpu pada ranking dan statistik hingga terkhilaf membina jiwa?

“Atas nama kecemerlangan pemarkahan akademik, adakah komponen pembinaan rohani dan moral telah dikorbankan? Adakah kita tanpa sedar bertanggungjawab mencorak manusia yang tiada lagi bersifat insani, tiada hati dan sifar jiwa?” titah baginda.

Baginda bertitah, sejak mencapai kemerdekaan, negara dan kerajaan amat mengutamakan program pendidikan dengan memberikan peruntukan perbelanjaan yang besar.

“Belanjawan 2026, memperuntukkan RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan RM18.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Tetapi semua itu akan tinggal sebagai angka, dan erti sebenar pendidikan tidak tercapai kalau jiwa anak-anak masih kosong daripada segi nilai apabila fokus pendidikan kini gagal melahirkan manusia beradab, berfikir dan punya arah hidup yang betul” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN