KUALA LUMPUR: Seorang pemuda memperoleh ganti rugi RM7.4 juta selepas Kerajaan Malaysia mengaku atas liabiliti kecuaian dalam memberikan rawatan yang menyebabkan kaki dan tangan lelaki itu dipotong, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Su Tiang Joo bagaimanapun menolak saman yang dikemukakan oleh bapa lelaki itu yang mendakwa telah kehilangan pendapatan.
Pada tahun 2020, K. Vimal Raj, 22, dan bapanya, J. Krishnasamy, 51, memfailkan saman tersebut melalui firma guaman Tetuan AJ Ariffin Yeo & Harpal dengan menamakan Kementerian Kesihatan (KKM), sebuah hospital kerajaan, 12 orang doktor serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Bagaimanapun, pada 22 Julai 2024, kedua-dua pihak mencapai penghakiman persetujuan yang mana Kerajaan Malaysia mengaku atas liabiliti dan kedua-dua plaintif menarik balik tuntutan terhadap defendan-defendan lain.
Dalam penghakimannya, Hakim Tiang Joo antara lain memberikan ganti rugi RM6.4 juta kepada Vimal Raj bagi pembelian tangan dan kaki robotik, RM213,000 bagi kesakitan dan penderitaan akibat pemotongan anggota badan, RM180,000 bagi penjagaan di rumah dan RM20,000 sebagai ganti rugi teruk (aggravated damages).
Mahkamah turut memerintahkan defendan untuk membayar kos sebanyak RM200,000.
Menurut pernyataan tuntutan, Vimal Raj yang ketika kejadian berusia 15 tahun, merupakan seorang remaja yang sihat, aktif dan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik.
Namun, pada 14 Januari 2019, bapanya menghantar beliau ke jabatan kecemasan sebuah hospital kerajaan akibat jangkitan teruk pada kulit skrotum.
Mangsa kemudiannya didiagnosis menghidap chronic balanitis iaitu keadaan yang boleh dirawat dan lazim berlaku dalam kalangan lelaki yang belum berkhatan.
Pada 23 Januari 2019, Vimal Raj yang masih tidak sedarkan diri telah dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas keadaannya merosot dan koma.
Ketika berada di ICU, Krishnasamy menyedari bahawa jari tangan dan kaki anaknya telah berubah warna menjadi kebiru-hitaman. Beliau segera memaklumkan perkara itu kepada pegawai perubatan yang merawat anaknya serta meminta penjelasan mengenai keadaan tersebut, namun tiada maklumat diberikan.
Disebabkan perubahan warna hitam yang teruk pada tangan kiri dan kaki kanan yang mana kedua-dua anggota itu tidak lagi berfungsi akibat kematian sel, seorang pegawai perubatan memaklumkan bagi menyelamatkan nyawa mangsa , tangan kiri dan kaki kanan atas lutut perlu dipotong.
Menurut plaintif, hospital telah gagal membuat diagnosis yang tepat terhadap keadaan plaintif kedua, menyebabkan berlakunya pemotongan anggota badan tersebut.
Keluarga itu diwakili peguam Brijnandan Singh Bhar, Datin Harwinder Kaur, Dhanesh Subramaniam Nair, Nathasha Bhar, Jasween Kaur, Keshvinder Kaur dan R. Vinushini manakala Peguam Persekutuan Siti Asmath Che Man mewakili kerajaan. – UTUSAN










