KOTA KINABALU: Memasuki minggu terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kerjasama jentera Pakatan Harapan (PH) di Tanjung Aru semakin mantap dengan sokongan padu akar umbi Barisan Nasional (BN) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) yang merupakan komponen Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
Semangat kebersamaan yang dibentuk dengan menggerakkan jentera secara lebih tersusun bagi memastikan kemenangan calon PH kerusi N.22 Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin.
Kesepaduan itu menerusi penglibatan dua tokoh penting iaitu Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putatan merangkap mantan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Aru, Reduan Aklee dan Ketua Bahagian PGRS Tanjung Aru, Datuk Bahrul Razha Chuprat.
Kedua-duanya memainkan peranan besar dalam menggembleng tenaga akar umbi merentasi parti untuk memastikan gerak kerja kempen berada pada tahap optimum.
Foong Hin berkata, perkhidmatan kepada rakyat yang berkesan hanya dapat dicapai apabila semua pihak mengetepikan perbezaan politik demi memenuhi keperluan masyarakat serta menyelesaikan isu-isu tempatan yang memerlukan perhatian segera.
“Politik seharusnya menjadi wadah membawa kebaikan, bukan perpecahan. Kita mahu membina Tanjung Aru dan Sabah untuk rakyatnya.
“Hidup bermasyarakat menuntut kita menjaga hubungan baik sesama kita dan saling membantu. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” ujar. – UTUSAN










