‘Pembangkang tolong tanya soalan bijak’- Gobind 

‘Pembangkang tolong tanya soalan bijak’- Gobind 

GOBIND SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Digital, Gobind Singh Deo menegur Ahli Parlimen pembangkang agar mengemukakan soalan yang lebih bijak dan berasaskan fakta ketika membahaskan isu dasar digital negara.

Beliau berkata demikian susulan pertanyaan tambahan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN–Pasir Mas) yang mendakwa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia boleh menjejaskan kedaulatan digital negara.

Ahmad Fadhli mempersoalkan sama ada ART akan menyebabkan Malaysia menyerahkan ‘kunci kedaulatan digital’ dan menjadi ‘makmal algoritma untuk syarikat-syarikat Lembah Silikon’.

“Soalan saya, adakah kerajaan benar-benar mahu negara kita, yang berhasrat menjadi negara berasaskan kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030 berdepan kekangan dalam perjanjian ART ini?” katanya.

Persoalan itu menyebabkan Gobind tampil memberi penjelasan dengan nada tegas.

“Pasir Mas, tolong baca artikel berkaitan dalam perjanjian itu dengan teliti. Perjanjian tidak sama dengan perundingan. Itu perkara asas,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Gobind berkata, tidak wajar untuk mana-mana pihak membuat tuduhan bahawa kerajaan menyerahkan kedaulatan negara tanpa memahami kandungan sebenar dokumen berkenaan.

“Saya tidak faham mengapa pihak kamu di sebelah sana sukar memahami konsep semudah itu.

“Baca dokumen itu betul-betul. Kami di pihak kerajaan tahu apa yang kami lakukan. Kami faham soal kedaulatan,” katanya.

Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan beberapa kali di peringkat Jemaah Menteri dan setiap aspek diperhalusi dengan teliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

Gobind berkata, soalan yang dibangkitkan Pasir Mas turut menyentuh mengenai ASEAN AI Safety Network (ASEAN AI Safe) serta perbincangan bersama menteri-menteri digital ASEAN yang lain.

“Ya, memang ada perbincangan. Tetapi cara kamu ajukan soalan seolah-olah tiada langsung perbincangan.  Jadi, saya nasihatkan pihak pembangkang, tolong tanya soalan yang lebih bijak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN