Pemandu rentung terperangkap dalam lori terbakar - Utusan Malaysia

Pemandu rentung terperangkap dalam lori terbakar

ANGGOTA bomba mengangkat mayat pemandu lori yang rentung dalam kebakaran lori selepas kenderaan dipandunya terbabas dan terbakar di Kilometer 254, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Kuala Kangsar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Seorang pemandu lori rentung selepas terperangkap dalam kenderaan yang terbakar setelah terbabit kemalangan di Kilometer 254, Lebuh Raya Utara-selatan arah utara di sini awal pagi tadi.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai C. Gunasilian, 64, yang beralamat di Klang, Selangor.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan lori sejuk beku muatan sayur-sayuran itu pada pukul 3.19 pagi.

Katanya, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan dan terbakar.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati lori tersebut telah musnah terbakar kira-kira 80 peratus di bahagian hadapan manakala 20 peratus lagi di belakang.

“Ketua operasi mengarahkan anggota membuat kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu dari tangki jentera sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori itu kemudian menemui pemandu lori di bahagian tempat duduk penumpang dan mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar merujuk kepada keadaan fizikal mangsa yang telah rentung.

Katanya, mayat mangsa dikeluarkan menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi yang disertai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan BBP Meru Raya itu tamat pada pukul 5.07 pagi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN