Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang dilancar Februari 2026

Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang dilancar Februari 2026

SAIFUDDIN Nasution Ismail hadir sambutan World Day Against Trafficking in Persons (WDAT) 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2026–2030 (NAPTIP 4.0) akan dilancarkan pada Februari tahun hadapan sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan NAPTIP 3.0 sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan baharu itu akan menumpukan terhadap pengenalpastian mangsa dalam sektor berisiko tinggi, peningkatan keupayaan siasatan dan pendakwaan, termasuk melibatkan penjawat awam yang bersalah dan meningkatkan akses jurubahasa dan koordinasi dan pengurusan kes.

“Ia termasuk pemerkasaan peranan ‘Victim Assistance Specialist’ di Sabah dan Sarawak, integrasi data, digitalisasi penguatkuasaan dan standardisasi perlindungan mangsa di seluruh negara.

“Ini termasuk memantapkan kerjasama rentas agensi dan antara kerajaan dengan badan bukan kerajaan untuk membina ekosistem respons nasional yang lebih tangkas dan berkesan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas menghadiri Sambutan World Day Against Trafficking in Persons (WDAT) 2025 di sini hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan NAPTIP 3.0 telah membuahkan hasil positif apabila Malaysia mengekalkan penarafan Tahap 2 (Tier 2) dalam laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang 2025 pada 30 September di Washington.

Jelas beliau, penarafan itu mencerminkan pengiktirafan antarabangsa kepada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh mekanisme pengawalseliaan, memutuskan rangkaian sindiket, meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban agensi serta memperkukuh pemulihan berasaskan mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN