KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, mengkritik kelewatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan terhadap akaun media sosial yang menyebarkan maklumat palsu, termasuk kandungan yang memfitnah ahli politik.
Menurutnya, akaun TikTok milik sebuah portal media telah menyebarkan video fitnah terhadap seorang ahli Parlimen pada Mac 2025. Laporan polis telah dibuat, namun sehingga kini tiada tindakan konkrit diambil terhadap akaun tersebut.
“Apabila maklumat palsu terus tersebar tanpa sebarang tindakan, ia bukan sahaja memalukan kerajaan, malah menjejaskan kepercayaan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Fadhli berkata, isu berkenaan sangat penting dan bukan hanya sekadar berkaitan kebebasan bersuara, tetapi ia turut melibatkan kandungan yang salah dan berpotensi menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat.
Bukan itu sahaja, isu melibatkan kenyataan palsu yang memfitnah ahli Parlimen lain mengambil masa sehingga tiga bulan untuk disiasat oleh MCMC.
“Tempoh panjang ini memberi ruang kepada maklumat palsu untuk terus tersebar dan tindakan juga tidak pasti apa yang diambil oleh MCMC,” katanya.
Fadhli berkata, kerajaan perlu memastikan MCMC bertindak lebih pantas dan proaktif, khususnya terhadap kandungan yang melibatkan kepentingan politik atau dana awam, bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu secara meluas.
“Kerajaan boleh mempertimbangkan supaya teknologi sedia ada, termasuk rangkaian 4G dan platform pemantauan digital, digunakan sepenuhnya bagi mempercepatkan pengesanan serta tindakan terhadap kandungan palsu,” katanya. – UTUSAN










