PETALING JAYA: Pas tidak menolak kemungkinan akan menggerakkan perhimpunan sebagai usaha membantah Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-Amerika Syarikat (ART) yang didakwa boleh menjejaskan kedaulatan negara.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu juga sedang mempertimbangkan beberapa langkah lain termasuk mengambil tindakan undang-undang melalui semakan kehakiman serta menganjurkan forum melibatkan tenaga profesional dan ahli akademik bagi membongkar implikasi perjanjian tersebut.
“ART kini mendapat tentangan meluas daripada pelbagai pihak termasuk cendekiawan, ahli akademik dan pakar undang-undang.
“Pas menyeru seluruh rakyat Malaysia agar kekal peka dan bersama mempertahankan maruah serta kedaulatan negara daripada sebarang bentuk penjajahan ekonomi baharu yang terselindung di sebalik nama ‘perdagangan dan digitalisasi’,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.-UTUSAN









