KUALA LUMPUR: Tiga akta utama akan dipinda tahun hadapan bagi membolehkan pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) dilaksanakan sepenuhnya.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, ia melibatkan Akta Jalan Persekutuan, Akta Pengangkutan Jalan dan Akta Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).
Katanya, pindaan tersebut diperlukan bagi menyediakan asas perundangan yang jelas untuk pelaksanaan sistem tol tanpa palang serta memastikan aspek penguatkuasaan dapat dijalankan dengan berkesan.
“Pelaksanaan MLFF akan dijalankan melalui kaedah perniagaan ke perniagaan (B2B) oleh pihak konsesi tanpa melibatkan perbelanjaan kerajaan selaras dengan keputusan Kabinet.
“Antara perkara yang akan dipinda adalah berkaitan kesalahan tidak membayar tol kerana apabila palang tol tiada, ada kemungkinan pengguna melalui laluan tanpa membuat bayaran,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) berhubung garis masa kerajaan untuk memastikan kesemua 33 pemegang konsesi lebuhraya berhijrah daripada sistem sedia ada kepada MLFF.
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan berkata, pelaksanaan sistem tol baharu itu dibuat kerana wujudnya masalah bottleneck yang kritikal di plaza-plaza tol khususnya pada musim perayaan dan hujung minggu.
Katanya, faktor keselamatan turut menjadi perhatian termasuk insiden kemalangan berhampiran plaza tol Bukit Kajang yang mengorbankan seorang bayi dan seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kerajaan berharap penggantian plaza tol dengan gantri MLFF menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) akan mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan di kawasan tersebut selain melancarkan aliran trafik,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan tidak perlu mengeluarkan kos sebanyak RM3 billion untuk melaksanakan sistem bayaran tol tersebut kerana Kabinet bersetuju ia dilakukan melalui B2B.
“Pemilihan sistem dan teknologi akan dibuat oleh pihak konsesi secara kompetitif dan kerajaan berharap pengguna tidak dikenakan sebarang caj tambahan bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa diambil berat,” katanya. – UTUSAN









