PARLIMEN: SPRM bebas siasat projek Aerotrain

PARLIMEN: SPRM bebas siasat projek Aerotrain

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan terhadap projek Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang bernilai RM456 juta berdasarkan undang-undang sedia ada.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Aerotrain di Terminal 1 KLIA dibiayai sepenuhnya Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan tidak melibatkan sebarang peruntukan kerajaan.

Katanya, Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertindak sebagai pihak berkuasa kawal selia bagi projek berkenaan.

“Pada masa ini, projek tersebut berada dalam tempoh liabiliti kecacatan selama dua tahun. Seperti yang diumumkan MAHB, syarikat itu sedang melaksanakan pelan tindakan bagi meningkatkan kestabilan sistem perkhidmatan Aerotrain,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN–Arau) mengenai jangka masa pembaikan penuh perkhidmatan Aerotrain KLIA, susulan kerosakan yang menjejaskan imej KLIA sebagai lapangan terbang antarabangsa bertaraf dunia.

Shahidan juga bertanya sama ada SPRM akan campur tangan dalam kes berkenaan.

Pada 29 Oktober lalu, Anthony meluahkan rasa kecewa dan malu susulan satu lagi kejadian gangguan Aerotrain di Terminal 1 KLIA yang menyebabkan penumpang terpaksa berjalan di atas landasan pada awal pagi 28 Oktober.

Kerosakan itu merupakan insiden ke-21 sejak perkhidmatan Aerotrain mula beroperasi pada Julai.

Anthony berkata, APAD telah membuka kertas siasatan terhadap MAHB berhubung gangguan perkhidmatan yang berlaku baru-baru ini.

Katanya, lesen pengendali yang diberikan kepada MAHB menetapkan bahawa syarikat itu mesti mengekalkan tahap perkhidmatan Aerotrain yang memuaskan kepada pengguna.

Ujarnya, di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, setiap pelanggaran syarat lesen boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 bagi setiap kesalahan.

“Sehingga 21 September 2025, seramai 4.5 juta penumpang telah menggunakan perkhidmatan Aerotrain KLIA dengan tren mencatatkan jarak perjalanan purata 34,000 kilometer,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN