KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat Jawatankuasa Kementerian Kerja Raya (KKR).
Seramai 23 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan sebelum mendapat lebih banyak suara bersetuju.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pihaknya menerima peruntukan berjumlah RM9.607 bilion untuk 357 projek tahun hadapan, meningkat berbanding RM9.327 bilion pada tahun sebelumnya.
Katanya, jumlah keseluruhan projek membabitkan 109 projek baharu, 228 sambungan dan 20 penyelenggaraan.
“Untuk tahun hadapan, negeri paling tinggi mendapat peruntukan ialah Sabah iaitu sebanyak RM2.175 bilion, kedua tertinggi ialah Sarawak iaitu RM1.915 bilion.
“Ia membabitkan antaranya projek Lebuhraya Pan Borneo, Sabah Sarawak Link Road, Lebuh Raya Trans Borneo, Lingkaran Tengah Utama membabitkan Kelantan-Pahang, Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dan Lorong Tambahan Plus di Johor,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad berkata, pihak kementerian kini sedang mencari alternatif bagi memastikan masalah jalan rosak dapat diatasi.
Katanya, KKR juga bakal mewujudkan makmal Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) di setiap negeri bermula tahun hadapan.
“Kontraktor boleh menggunakan makmal berkenaan dengan caj yang tidak mahal jika menggunakan perisian yang dibeli sendiri,” katanya. – UTUSAN








