KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bagi meneliti secara menyeluruh cadangan pelantikan Ahli Majlis di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti disyorkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan bagi memastikan sebarang pelaksanaan tidak bertindih dengan undang-undang sedia ada serta selaras dengan struktur pentadbiran bandar raya Kuala Lumpur.
Beliau berkata, ketika ini Datuk Bandar Kuala Lumpur dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) dan menjalankan fungsi sebagai pihak berkuasa tempatan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
“Kerajaan mengambil maklum saranan PAC untuk meneliti semula struktur kuasa pentadbiran DBKL bagi memperkukuh prinsip semak dan imbang dalam tadbir urus tempatan.
Justeru, jawatankuasa khas ini akan menilai secara mendalam semua aspek berkaitan termasuk keperluan pindaan undang-undang,” katanya semasa menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Negara, hari ini.
Zaliha berkata, pilihan raya kerajaan tempatan yang dimansuhkan sebelum ini tidak menjadi keutamaan kerajaan buat masa ini, sebaliknya tumpuan diberikan kepada langkah memperkukuh tadbir urus dan ketelusan melalui mekanisme sedia ada.
“Kerajaan telah menubuhkan Majlis Menteri Wilayah dan Mesyuarat Konsultasi Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membincangkan isu dasar, penyelenggaraan bandar dan kebajikan warga kota secara berkala,” katanya.
Zaliha berkata, kerajaan turut memperkukuh Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWPKL) dengan menaikkan elaun Timbalan Pengerusi kepada RM1,000, Setiausaha RM750, serta meningkatkan geran aktiviti zon kepada RM60,000 dan subzon kepada RM25,000, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka di peringkat komuniti. – UTUSAN










