PARLIMEN: Pengelasan B40, M40, T20 dikaji ikut realiti semasa

PARLIMEN: Pengelasan B40, M40, T20 dikaji ikut realiti semasa

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji semula pengelasan kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 bagi memastikan ia lebih selaras dengan keperluan dan realiti ekonomi semasa.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kajian itu penting bagi memastikan dasar dan program bantuan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih tepat dan bersasar selaras dengan perubahan struktur ekonomi serta peningkatan kos sara hidup rakyat.

“Kerajaan pada masa ini masih mengekalkan pengelasan pendapatan B40, M40 dan T20, namun pengelasan ini sedang dikaji semula berdasarkan keperluan semasa.

“Langkah ini penting supaya sebarang intervensi sosial, program kemiskinan dan bantuan subsidi dapat disalurkan kepada kumpulan yang benar-benar layak,” katanya ketika sesi penggulungan Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah yang juga memangku tugas Menteri Ekonomi berkata, buat masa ini, Pangkalan Data Utama (PADU) menjadi rujukan utama bagi pelaksanaan dasar sosial termasuk dalam program pembasmian kemiskinan dan penyasaran subsidi RON95.

Katanya, sistem PADU membolehkan kerajaan menilai kedudukan sosioekonomi isi rumah secara lebih menyeluruh termasuk faktor pendapatan, lokasi, pekerjaan dan keperluan asas bagi memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar inklusif.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi 2026, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi.

Katanya, setakat 31 Oktober 2025, seramai 6,770 isi rumah miskin tegar, miskin dan B40 telah diluluskan penyertaan dalam program IPR dengan purata pendapatan peserta kini melebihi RM2,000 sebulan.

“Bagaimanapun, pelaksanaan program IPR turut berdepan beberapa cabaran termasuk isu lokasi projek pertanian dan penempatan mesin layan diri IPR–INSAN serta sikap segelintir peserta yang kurang komited keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Bagi menangani cabaran ini, kerajaan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengenal pasti tanah yang sesuai untuk projek IPR–INTAN, selain meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membantu memudah cara pelaksanaan di lapangan,” katanya.

Tambahnya, kementerian juga sedang mengukuhkan ekosistem pembimbing dan anchor industry (offtaker) untuk memastikan kesinambungan program, selain melaksanakan pemantauan serta bimbingan berterusan kepada peserta agar dapat menjana pendapatan secara mampan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN