PARLIMEN: Pendapatan isi rumah Bumiputera meningkat kepada RM8,220

PARLIMEN: Pendapatan isi rumah Bumiputera meningkat kepada RM8,220

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendapatan purata bulanan isi rumah Bumiputera menunjukkan peningkatan ketara daripada RM7,599 pada 2022 kepada RM8,220 pada 2024 sekali gus mencerminkan keberkesanan pelaksanaan inisiatif Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, selain peningkatan pendapatan, kadar kemiskinan dalam kalangan Bumiputera juga berkurangan daripada 7.9 peratus pada 2022 kepada 6.6 peratus pada 2024.

Katanya, kemajuan tersebut hasil pelaksanaan pelbagai dasar dan program berfokus seperti penskalaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera dan Gear-uP yang berasaskan konsep perlumbaan relay bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan.

“Pemantauan terhadap inisiatif di bawah PuTERA35 akan terus dijalankan oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bagi memastikan pelaksanaannya memberi kesan langsung kepada kesejahteraan dan mobiliti ekonomi masyarakat Bumiputera,” katanya ketika sesi penggulungan Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah yang juga memangku tugas Menteri Ekonomi berkata, di bawah Rolling Plan 1 (RP1), sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan bagi pembangunan usahawan Bumiputera.

Katanya, daripada jumlah itu, RM61 juta disalurkan kepada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi melaksanakan tiga program pembiayaan PKS Bumiputera, manakala RM139 juta diperuntukkan kepada Yayasan Peneraju untuk program pembangunan bakat Bumiputera.

“Pengagihan dana di bawah Teraju akan disalurkan kepada PKS bumiputera yang berkelayakan dan penyelarasan semula antara agensi di bawah Kementerian Ekonomi sedang dilakukan bagi mengelakkan pertindihan mandat serta memastikan keberkesanan pelaksanaan.

“Pencapaian positif ini membuktikan pelan pembangunan Bumiputera kekal berada di landasan kukuh menuju sasaran meningkatkan daya saing ekonomi dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN