KUALA LUMPUR: Keputusan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd. Nor tidak mengenakan tindakan terhadap Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang membuat tuduhan terhadap dua Ahli Parlimen pembangkang mencetuskan bantahan beberapa wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).
Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang membangkitkan perkara itu meminta Ramli mempertimbangkan tindakan diambil terhadap Sany kerana mengaitkan fitnah di masjid dengan Awang Hashim (PN-Pendang) dan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dengan mendakwa mereka memfitnah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Tadi saya dengar Hulu Langat (Sany) cakap Kota Bharu dan Pendang fitnah APMM. Saya minta petua adakah ia dibenarkan dalam mengajukan soalan,” katanya.
Ramli yang ketika itu mempengerusikan Dewan Rakyat dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan memutuskan tiada tindakan terhadap Sany kerana Fadhli tiada locus standi bercakap sebagai orang ketiga.
“Kalau yang bangkitkan tadi Pendang sendiri, jadi kemungkinan besar saya akan memberi amaran atau punish,” katanya.
Sementara itu, Abd. Ghani Ahmad (PN-Jerlun) turut mempersoalkan keputusan Ramli tidak mengambil tindakan terhadap Sany.
“Perkara dibangkitkan Pasir Mas tadi, Timbalan Speaker mempunyai hak untuk membuat ‘ruling’ (keputusan) terhadap Hulu Langat,” katanya.
Terdahulu, Sany mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berhubung tindakan yang akan diambil kepada penceramah menyebar fitnah di masjid dan surau.
Sany kemudiannya memberi contoh Awang dan Takiyuddin yang membuat fitnah terhadap APMM. – UTUSAN










