PARLIMEN: Pelaksanaan `caj kenderaan’ ke Genting Hinglands tidak dapat dielakkan

PARLIMEN: Pelaksanaan ‘caj kenderaan’ ke Genting Hinglands tidak dapat dielakkan

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan caj kenderaan ke Genting Highlands tidak dapat dielakkan memandangkan jalan terletak di tanah persendirian, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat tiada kaitan dalam perkara tersebut kerana ia membabitkan tanah persendirian.

Bagaimanapun katanya, caj yang dikenakan bukan `tol’ sebaliknya ia adalah caj kenderaan yang dikenakan kepada pengguna yang mahu berlibur ke taman tema berkenaan.

Katanya, pihak Genting diminta untuk memberi pertimbangan sewajarnya teutama kepada pengguna yang tidak bertujuan berkunjung ke taman tema itu.

“Jalan itu adalah jalan persendirian, jadi Kerajaan Pusat tiada kaitan dengan jalan itu.

“Pada pandangan kami, harap jangan digunakan perkataan ‘tol’ sebab dia mengelirukan dengan 33 konsesi tol yang ada di lebuh raya. Saya kira mungkin boleh ditukar pada ‘caj kenderaan’.

“Pada pandangan saya, hanya mereka yang nak pergi bergembira di atas itu (Genting Highlands) wajar dikenakan. Kepada mereka yang melaluinya atas tujuan sosial saya tak nampak ia patut dikenakan caj,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai caj kenderaan yang dikenakan Genting Malaysia Bhd. ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 Kementerian Kerja Raya peringkat Jawatankuasa.

Sebelum ini, pelaksanaan ‘tol’ itu mengundang pelbagai reaksi termasuk orang awam yang mempersoalkan kelulusan membenarkan kutipan `tol’ oleh syarikat swasta.

Malah, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa pelaksanaan kutipan `tol’ di Genting Highlands dibatalkan sehingga hasil siasatan dan semakan integriti diselesaikan.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, ini kerana tanah tersebut adalah tanah kerajaan negeri yang diberikan premium kepada syarikat dengan sebahagiannya melibatkan kawasan hutan simpan yang telah dinyahwartakan.

Malah katanya, jalan yang digunakan orang awam tidak boleh dikenakan tol secara unilateral oleh pihak swasta,

“MCW menggesa kerajaan negeri Pahang dan Selangor memberikan penjelasan terbuka mengenai status tanah, syarat kelulusan dan legaliti tol tersebut.

“Di samping itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kewangan perlu menyatakan pendirian rasmi terhadap kutipan tol oleh entiti swasta di jalan yang digunakan umum,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN