Media sosial kini jadi medan perang maklumat -Idris Ahmad

PARLIMEN: Media sosial kini jadi medan perang maklumat -Idris Ahmad

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Fenomena perpecahan kaum dan agama yang semakin menular akibat penyalahgunaan media sosial kini berubah menjadi medan perang maklumat hingga menyuburkan budaya kebencian serta salah faham dalam kalangan masyarakat, dilihat semakin membimbangkan.

Datuk Idris Ahmad (PN–Bagan Serai) berkata, media sosial yang sepatutnya berperanan sebagai jambatan komunikasi antara kaum, agama dan parti politik kini berubah menjadi platform merosakkan perpaduan apabila ruang perbincangan dipenuhi fitnah, stereotaip dan sentimen perkauman.

“Sepatutnya media sosial menjadi wadah untuk menyatukan masyarakat pelbagai bangsa dan agama, tetapi kini ia menjadi gelanggang pertembungan persepsi yang hanya menambah jurang perbezaan.

“Di sinilah bermulanya kebencian dan salah faham antara kelompok rakyat,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Idris berkata, selepas 68 tahun negara mencapai kemerdekaan, fenomena perpecahan semakin ketara sama ada di peringkat kepimpinan mahupun rakyat, apabila masyarakat lebih gemar mencari perbezaan daripada titik persamaan.

“Kita semakin hilang keupayaan untuk mencari persamaan dan lebih cenderung menonjolkan perbezaan. Ini satu tanda bahaya kepada masa depan perpaduan negara,” katanya.

Idris berkata, kepelbagaian bangsa, agama dan budaya di Malaysia seharusnya menjadi kekuatan yang mengukuhkan keharmonian, bukannya sumber perpecahan.

“Negara kita ibarat anyaman tikar berwarna-warni. Setiap jalur dan warna ada keindahan tersendiri, namun apabila dianyam dengan kasih sayang, hormat dan tolak ansur, maka terhasillah keindahan yang kukuh dan harmoni,” jelasnya.

Mengulas kepentingan isu peribumi, beliau berkata, Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak istimewa orang Melayu bukan bertujuan memecahbelahkan rakyat, tetapi untuk memastikan perpaduan negara dibina atas keadilan sosial.

Beliau turut memberi contoh pentadbiran Pas di Kelantan sebagai model keharmonian kaum berteraskan Islam apabila tiada sebarang rekod penindasan terhadap masyarakat bukan Islam walaupun mereka minoriti.

“Selama lebih 50 tahun mentadbir Kelantan, tiada sebarang peristiwa perpecahan kaum yang serius berlaku.

“Islam melarang perbuatan menyakiti orang lain, malah Allah SWT berpesan agar kita tidak mencaci sembahan penganut agama lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN