KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan dasar berkecuali dalam hubungan pertahanan antarabangsa meskipun menyertai latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Australia termasuk Latihan Keris Strike 25 (KrS25) dan Warrior 2025.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, prinsip berkecuali kekal menjadi teras utama dasar pertahanan negara.
Katanya, Malaysia turut menjalankan latihan ketenteraan dengan negara-negara ASEAN dan China bagi memperkukuh keupayaan operasi serta memupuk kerjasama serantau.
“Kita melihat latihan ini sebagai sebahagian daripada bentuk penglibatan dua hala dan pelbagai hala dan prinsip berkecuali Malaysia akan terus dikekalkan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN–Tanjung Karang) yang ingin mengetahui sama ada latihan tiga hala seperti KrS25 dan Warrior 2025 selaras dengan pendirian Malaysia yang neutral dan bebas di rantau Indo-Pasifik.
Mengulas manfaat latihan tersebut, Adly berkata, pelaksanaan KrS25 dan Warrior 2025 membuktikan komitmen Malaysia dalam memperkukuh keselamatan serta kesiapsiagaan pertahanan bersama rakan strategik.
Katanya, latihan pelbagai hala itu juga memberi peluang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan keupayaan interoperabiliti dengan pasukan tentera luar melalui pendedahan kepada taktik, teknik dan prosedur standard antarabangsa, selain mengukuhkan hubungan pertahanan serantau dan global.
“Latihan sebegini membantu anggota kita memperkukuh pengetahuan dan kepakaran, di samping memberi pendedahan kepada teknologi, peralatan dan doktrin ketenteraan moden.
“Pengalaman ini menjadi asas penting dalam memperkukuh pertahanan negara selaras dengan cabaran keselamatan semasa,” katanya.-UTUSAN










