PARLIMEN: KPM teliti penyerapan guru interim ke jawatan tetap

PARLIMEN: KPM teliti penyerapan guru interim ke jawatan tetap

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) kini meneliti pelaksanaan penyerapan guru interim dan kontrak ke jawatan tetap secara berperingkat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia bagi memastikan penempatan dibuat mengikut keperluan opsyen serta keseimbangan tenaga pengajar di semua negeri.

Katanya, langkah itu penting bagi menjamin keberkesanan sistem pendidikan dan memastikan kekosongan jawatan di sekolah diisi oleh guru yang berkelayakan.

“KPM sedang meneliti semula kedudukan guru interim dan kontrak untuk diserap ke jawatan tetap mengikut keperluan bidang dan kekosongan.

“Proses ini dijalankan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran penempatan serta keseimbangan tenaga pengajar di setiap sekolah,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Kah Woh berkata, KPM turut menekankan aspek pembangunan profesional berterusan (CPD) bagi guru baharu dan sedia ada sebagai usaha memperkukuh kualiti pengajaran serta keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

“Kementerian sentiasa memastikan pembangunan profesional guru diberi perhatian melalui latihan berstruktur, peningkatan kemahiran dan pembangunan kerjaya secara berterusan.

“Ia penting supaya tenaga pengajar kita kekal relevan dan mampu menyesuaikan diri dengan keperluan semasa sistem pendidikan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN