KUALA LUMPUR: Terdapat kerajaan negeri dilaporkan enggan mengambil alih hak milik kemudahan sukan seperti stadium mini yang dibina menggunakan peruntukan kerajaan Persekutuan atas alasan tidak mampu menanggung kos penyelenggaraan tahunan yang tinggi.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, selepas sesuatu projek kemudahan sukan siap dibina oleh kerajaan Persekutuan, tanggungjawab penyelenggaraan perlu diserahkan kepada kerajaan negeri, namun terdapat beberapa negeri yang menolak pengambilalihan itu.
“Masalah kita ialah selepas pembinaan siap, kita perlu serahkan kepada kerajaan negeri untuk urusan penyelenggaraan. Tetapi ada banyak projek di mana kerajaan negeri tidak mahu menyelenggara kerana kos terlalu tinggi.
“Ada kes di mana kemudahan sudah dibina, tetapi kerajaan negeri memaklumkan mereka tidak dapat menerima projek tersebut kerana tidak mampu menanggung kos penyelenggaraan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengenai cadangan pembinaan stadium mini dan penyediaan kemudahan sukan lain berjumlah RM10 juta dalam Parlimen Bukit Gantang yang ditolak kerajaan.
Menurut Hannah, anggaran kos penyelenggaraan dan pengurusan sebuah stadium mini termasuk kerja-kerja penyelenggaraan berkala, kontrak pembersihan serta penggantian peralatan mencecah sekitar RM170,000 setahun.
Katanya, Kementerian Ekonomi tidak dapat meluluskan cadangan pembinaan stadium mini baharu bernilai RM10 juta di Parlimen Bukit Gantang kerana permintaan seumpama itu turut diterima daripada banyak kawasan lain di seluruh negara.
“Anggaran kos bagi membina sebuah stadium mini baharu yang melibatkan pembinaan astaka, trek balapan, padang sintetik, lampu limpah dan pejabat pentadbiran adalah sebanyak RM13 juta.
“Di Parlimen Bukit Gantang sahaja sudah terdapat empat kemudahan sukan di kawasan Dewan Undangan Negeri berbeza termasuk padang bola sepak, gelanggang sepak takraw di Kampung Padang Kunyit di Trong, gelanggang futsal di Changkat Jering dan padang bola sepak di Kuala Sepetang,” katanya.
Pada masa sama, Hannah berkata, kelemahan dari segi keupayaan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyelenggara kemudahan tersebut berpunca daripada jumlah kejohanan yang rendah serta kekurangan hasil yang boleh dijana.
“Oleh itu, walaupun banyak stadium mini dibina di peringkat negeri dan PBT apabila kejohanan tidak mencukupi, mereka tidak dapat menjana pendapatan untuk menampung kos penyelenggaraan.
“Kebanyakan kawasan sekitar stadium kini hanya digunakan sebagai tapak pasar malam, pasar seni atau pasar tani. Maka, kementerian memilih untuk menumpukan dana bagi menaik taraf kemudahan sedia ada berbanding membina baharu,” jelasnya.-UTUSAN










