KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka Dasar Blockchain Negara sebagai pelan hala tuju baharu selepas berakhirnya Pelan Hala Tuju Rantaian Blok Nasional 2021–2025 hujung tahun ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kementeriannya menjadi penyelaras utama dalam membangunkan dasar dan hala tuju strategik teknologi digital termasuk teknologi blockchain, sejajar dengan usaha memperkukuh ekonomi digital negara.
Katanya, bagi tujuan itu, Pasukan Kerja Dasar Blockchain Negara telah ditubuhkan melibatkan pakar dan pemain industri dari sektor awam serta swasta bagi membentuk dasar yang holistik dan inklusif.
“Fokus utama pasukan kerja ini ialah mengenal pasti keutamaan strategik dalam pembangunan dan penerapan teknologi blockchain di Malaysia, termasuk aspek kripto dan bukan kripto.
“Ia juga akan meneliti implikasi etika, undang-undang dan sosial, selain mengemukakan strategi pembangunan bakat serta kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi akademik,” katanya menjawab soalan Syarleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, kementerian sedang meneliti komponen utama dasar tersebut yang akan menumpukan kepada adaptasi teknologi blockchain bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan dan ketelusan sektor kerajaan, industri serta rakyat.
“Pengaplikasian teknologi blockchain menerusi `tokenisasi aset’ juga sedang dikaji, khususnya dalam aspek pengurusan aset dan pembangunan pasaran modal bagi menjamin keselamatan transaksi serta kestabilan ekosistem digital,” katanya. – UTUSAN










