PARLIMEN: Kerajaan kekal beku kelulusan kuota pekerja asing baharu

PARLIMEN: Kerajaan kekal beku kelulusan kuota pekerja asing baharu

ABDUL RAHMAN MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah pekerja asing aktif dan sah bekerja di Malaysia menurun sebanyak 13 peratus, sekali gus menunjukkan usaha mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing membuahkan hasil.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), jumlah pekerja asing aktif ketika ini ialah 2.13 juta orang berbanding 2.45 juta pada tempoh sama tahun lalu, pengurangan sebanyak 13 peratus.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 622,000 bekerja dalam sektor kilang, pembinaan (589,000), perladangan (262,000), pertanian (158,000), manakala pembantu rumah asing (100,007) dan sektor perlombongan serta pengkuarian (765).

“Kementerian komited untuk terus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam semua sektor ekonomi negara,” katanya menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, pendirian itu seiring dengan dasar kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), yang menetapkan kadar penggajian pekerja asing tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah guna tenaga negara menjelang tahun depan.

“Dalam RMK13 pula, kerajaan telah meletakkan jumlah pekerja asing dikurangkan kepada 10 peratus daripada tenaga kerja (tempatan) pada tahun 2030 dan sehingga lima peratus menjelang 2035.

“Antara langkah yang dilaksanakan ialah mengekalkan keputusan kerajaan berhubung pembekuan kelulusan kuota baharu bagi pekerja asing, selaras dengan prinsip memberi keutamaan kepada penggajian pekerja tempatan dalam pasaran buruh sebelum kekosongan ditawarkan kepada pekerja asing,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN