KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi keutamaan kepada pelaksanaan langkah intervensi berbanding pemindahan sekolah yang terletak di kawasan berisiko banjir bagi memastikan akses pendidikan murid tidak terjejas.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sebelum sebarang keputusan dibuat untuk memindahkan sekolah, kementerian perlu menilai pelbagai faktor termasuk kemudahan pembelajaran bagi pelajar yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan.
“Sekiranya ada sekolah yang mana kadar pendaftarannya tinggi dan mungkin terjejas dengan isu berkenaan (banjir), pendekatan KPM ialah kita cuba melaksanakan langkah intervensi untuk mengurangkan risiko banjir tersebut.
“Apabila sekolah itu terdedah kepada banjir dan kita perlu pindahkan, apa yang kami bimbang adalah akses kepada pendidikan kepada anak-anak yang tinggal di kawasan itu,” katanya menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (PN-Rantau Panjang) semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Kah Woh, KPM juga sentiasa memantau keadaan sekolah di kawasan terjejas terutama ketika musim peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.
“Tahun lepas berlaku isu banjir teruk dan tahun ini kita melakukan langkah-langkah pencegahan.
“Dua minggu lepas, Menteri (Fadhlina Sidek) dan pengurusan tertinggi KPM turun ke Kelantan dan Pantai Timur untuk meninjau persediaan SPM dan menghadapi risiko banjir,” katanya. – UTUSAN










