PARLIMEN: 4,919 diaspora profesional kembali berkhidmat di tanah air

PARLIMEN: 4,919 diaspora profesional kembali berkhidmat di tanah air

STEVEN SIM CHEE KEONG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 4,919 orang rakyat Malaysia berkemahiran tinggi telah kembali dan berkhidmat di tanah air melalui Program Kepulangan Pakar (REP) sekali gus menunjukkan keberhasilan usaha kerajaan menarik pulang diaspora profesional sejak lebih sedekad lalu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, sejak REP dilaksanakan pada 2011 hingga Ogos 2025, TalentCorp menerima 11,935 permohonan daripada bakat profesional Malaysia di luar negara.

Katanya menerusi jumlah itu, sebanyak 7,487 permohonan diluluskan manakala hampir 5,000 telah pulang untuk menyumbang kepakaran dalam pelbagai sektor strategik negara.

“Usaha membawa pulang tenaga mahir dilakukan melalui pelbagai insentif antaranya kadar cukai rata 15 peratus selama lima tahun ke atas pendapatan pekerjaan, pengecualian cukai ke atas barangan peribadi (kecuali kenderaan bermotor) serta pengecualian duti eksais sehingga RM100,000 bagi kenderaan Complete Knocked Down (CKD).

“REP merupakan inisiatif penting mengembalikan bakat global Malaysia. Insentif ditawarkan membantu proses kepulangan mereka serta memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dan terus berkhidmat dalam sektor yang memerlukan kepakaran khusus,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS–Sri Aman) mengenai strategi mengekalkan bakat profesional tempatan yang berhijrah kerana faktor gaji serta ekosistem kerja lebih baik, selain usaha membawa pulang diaspora dan mewujudkan iklim kerja yang lebih kompetitif untuk mengelakkan fenomena brain drain berterusan.

Mengulas isu daya tarikan gaji yang menjadi faktor penghijrahan tenaga profesional, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan TalentCorp melaksanakan kajian Projek Rintis Dasar Gaji Progresif (DGP).

Katanya, kajian itu menilai keberkesanan struktur gaji baharu yang mengambil kira kelayakan akademik, pengalaman, senioriti serta kemahiran bagi meningkatkan kesejahteraan dan daya saing tenaga kerja negara.

“Trend penghijrahan bakat kini semakin berubah daripada brain drain kepada brain circulation melalui inisiatif Malaysia@Heart (MyHeart) yang menghubungkan diaspora Malaysia di luar negara dengan peluang ekonomi, sosial dan budaya dalam negara.

“Inisiatif MyHeart memastikan diaspora terus terlibat dan menyumbang meskipun tidak pulang sepenuhnya. Kepakaran, jaringan global dan pengalaman mereka dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN