KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,785 hektar tanah sawah dikenal pasti telah ditukar guna kepada aktiviti bukan pertanian atau tanaman lain dalam tempoh 2020 hingga 2024.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keluasan tanah terbabit berpandukan data dilaporkan Jabatan Pertanian serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
“Sebahagian besar penukaran kegunaan itu berlaku di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak bagi tujuan pembangunan perumahan, infrastruktur serta kawasan perindustrian.
“Secara umum, penukaran status penggunaan tanah terletak sepenuhnya bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd. Nor (PN-Temerloh) berhubung jumlah tanah sawah ditukar penggunaannya serta kaedah kementerian memastikan bekalan beras mencukupi susulan tindakan itu.
Mohamad berkata, Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan Pemulihan Sawah Terbiar diperkenal untuk meningkatkan kecekapan ekonomi pesawah serta menjadikan tanaman padi lebih berdaya saing berbanding tanaman lain.
Katanya, hasil pengeluaran padi diunjurkan meningkat berikutan pengurusan pemantauan penanaman padi dilaksanakan melalui teknologi seperti Internet Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).
Justeru katanya, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) diteruskan bagi menghasilkan varieti padi yang mengeluarkan hasil tinggi, rentang penyakit dan sesuai mengikut kawasan serta keadaan tanah.
“Ini termasuk memperkasakan infrastruktur pengairan dan saliran dengan menyediakan peruntukan pembangunan setiap tahun serta pengenalan varieti padi baharu dan galakan penggunaan Benih Padi Sah (BPS) dari Semenanjung di kawasan penanaman padi Sabah serta Sarawak.
“Selain itu, pemerkasaan latihan dan program pengembangan bagi pesawah di lapangan dan Pensijilan MyGAP oleh Jabatan Pertanian.
“Seterusnya, memantau stok penimbal beras negara melalui Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bagi menjamin bekalan beras kekal stabil dalam pasaran domestik walaupun berlaku penurunan pengeluaran sementara pada peringkat tempatan,” katanya.










