NAJAF: Sebuah mahkamah di Iraq menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas seorang penjual kerana memperdaya pelanggan dengan menjual daging babi yang didakwa daging lembu dan kambing.
Mahkamah Jenayah Najaf menjatuhkan hukuman tersebut selepas pihak berkuasa merampas kira-kira 75 kilogram daging daripada premis berkenaan, menurut kenyataan Majlis Kehakiman Tertinggi Iraq.
Berdasarkan kenyataan pihak kehakiman, peniaga berkenaan memasarkan daging tersebut sebagai daging ternakan halal walaupun ia sebenarnya merupakan daging babi yang sudah tidak selamat untuk dimakan.
Mahkamah mendasarkan keputusannya pada undang-undang tahun 1998 yang mengjenayahkan penjualan daging anjing, keledai dan jenis daging lain yang disahkan tidak layak untuk konsumsi manusia.
Kes berkenaan memberi fokus kepada isu penjualan daging tidak selamat serta penipuan maklumat produk kepada pengguna. Undang-undang Iraq secara umumnya tidak mengenakan sekatan menyeluruh terhadap penjualan daging babi yang masih boleh dimakan oleh komuniti bukan Muslim di negara itu.
Insiden ini mencetuskan perhatian meluas kerana ia berlaku di Najaf, sebuah pusat keagamaan paling penting bagi penganut Syiah dan menempatkan makam Imam Ali yang menerima kunjungan jutaan ziarah setiap tahun.
Penahanan peniaga terbabit pada awal bulan ini turut mencetuskan perbincangan hangat mengenai tahap pemeriksaan keselamatan makanan serta pemantauan terhadap jualan daging di premis tempatan.
Beberapa penduduk memberitahu agensi berita AFP bahawa mereka sebelum ini pernah membeli daging dari kedai berkenaan tanpa menyedari ia merupakan daging babi.
Seorang pelanggan, Ahmed al-Mansouri berkata beliau kerap membeli daging cincang di situ kerana harganya yang murah dan kualitinya yang disangkakan baik.
Seorang lagi penduduk, Mahmoud al-Khafaji, turut meluahkan kebimbangan selepas mengusung daging dari kedai tersebut dan bimbang isu berkenaan memberi imej buruk secara menyeluruh kepada penduduk Najaf.
Susulan penularan berita skandal berkenaan, penduduk tempatan memaklumkan bahawa para pengguna kini menjadi lebih berhati-hati untuk membeli daging cincang dan kebab dari kedai-kedai di kawasan sekitar akibat bimbang akan isu keselamatan makanan serta ketepatan label produk. -AGENSI










