KUALA LUMPUR: Penyedia platform ekonomi gig diwajibkan membuat potongan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pekerja secara automatik melalui sistem perantara digital selaras dengan peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, RUU itu mewajibkan penyedia platform menyerahkan maklumat pekerja kepada Perkeso dan melaksanakan integrasi potongan caruman secara automatik melalui sistem digital mereka.
Katanya, ia bertujuan memastikan pekerja gig menikmati perlindungan sosial yang setara dengan pekerja sektor formal selaras dengan prinsip keadilan sosial dan pembangunan ekonomi inklusif.
“Sehingga 19 September 2025, seramai 297,073 pekerja gig telah mencarum secara aktif di bawah LINDUNG Kendiri iaitu skim yang dahulunya dikenali sebagai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
“Dalam hal ini, RUU Pekerja Gig telah diluluskan oleh Parlimen pada 28 Ogos 2025 di Dewan Rakyat dan 9 September 2025 di Dewan Negara.
“Kelulusan ini membuktikan bahawa pekerja gig tidak lagi dipinggirkan, sebaliknya diiktiraf sebagai tenaga kerja penting dalam ekonomi baharu negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri M. Saravanan (PN-Tapah) berhubung langkah konkrit bagi menguatkuasakan pelaksanaan potongan secara automatik itu.
Steven Sim berkata, sistem automatik itu juga membolehkan Perkeso mengutip caruman dengan lebih telus dan efisien tanpa membebankan pengendali platform dengan urusan pentadbiran tambahan.
Selain itu katanya, RUU berkenaan turut memberi kuasa kepada Perkeso untuk menjalankan tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) bagi memastikan keselamatan sosial pekerja gig sentiasa dilindungi.
“Bagi menyokong pelaksanaan rang undang-undang itu di seluruh negara, kementerian telah mengadakan 7,208 sesi libat urus dengan agensi dan pekerja gig termasuk beberapa program berskala besar melibatkan penghantar.
“Ini termasuk program berterusan untuk meningkatkan kesedaran seperti Program Sembang Teh Tarik melibatkan 1,000 pekerja gig, program Penang Rider Jalan Teruih dengan penyertaan 1,000 penghantar serta sesi Meet & Greet pada 11 Oktober di Kangar, Perlis yang disertai 10,000 penghantar termasuk pekerja gig.
“Sistem Pengesanan Bijak (Smart Detection) turut dilaksanakan dengan kerjasama agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi memantau penyedia platform yang masih belum mematuhi keperluan pendaftaran dan caruman,” katanya. – UTUSAN







