KUALA LUMPUR: Terdapat kira-kira 108,826 kekosongan jawatan aktif diiklankan menerusi Portal MYFutureJobs sejak Januari hingga 14 November tahun ini berbanding 464,534 pencari kerja aktif yang berdaftar pada platform sama.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), data kekosongan jawatan kumulatif bagi tempoh Januari hingga 30 September 2025 pula merekodkan 1.1 juta jawatan yang diiklankan, manakala sebanyak 1.5 juta kekosongan jawatan direkodkan pada tahun lalu.
Katanya, berdasarkan perincian mengikut tawaran pekerjaan bergaji RM3,000 dan ke atas, peluang yang ditawarkan pada tahun ini antaranya ialah Application Consultant (Cloud), SQL Database Developer, Merchant Wholesaler, Supply Chain–Procurement Specialist dan Software Consultant.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 247,889 kekosongan jawatan pada 2025 menawarkan gaji RM3,000 dan ke atas, manakala 339,916 kekosongan pada 2024 menawarkan gaji pada paras sama.
“Lima sektor yang menawarkan peluang pekerjaan tertinggi pada 2025 adalah maklumat dan komunikasi dengan 55,269 jawatan serta aktiviti perkhidmatan pentadbiran dan sokongan (34,391).
“Selain itu, pembuatan (33,866), aktiviti profesional, saintifik dan teknikal (24,849) serta aktiviti kewangan dan insurans (21,459), katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH–Shah Alam) mengenai perbandingan jumlah pekerjaan baharu yang diwujudkan sepanjang 2024 dan 2025 yang melebihi gaji pertengahan RM2,600 sebulan pada 2023 serta sektor utama yang menyumbang kepada kenaikan tersebut. – UTUSAN










