KOTA BHARU: Seramai 13 individu termasuk seorang wanita dan tiga Orang Asli antara yang ditahan reman empat hari selepas dipercayai menyertai perhimpunan di depan Istana Negeri, Kubang Kerian di sini, semalam.
Perintah reman sehingga Sabtu terhadap kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 26 tahun hingga 67 tahun itu dikeluarkan Majistret Imran Rais Hamid.
Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
Sementara itu, mengikut sumber, kesemua suspek dipercayai berkumpul di depan Istana Negeri, Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 11.40 pagi semalam.
Katanya, pemeriksaan terhadap beberapa orang suspek menjumpai senjata tajam seperti keris, lembing, kelewang, pedang dan benet.
“Selain itu, kayu, tongkat buluh, teko tembaga, cawan tembaga, rantai manik, duit syiling pelbagai mata wang, akar kayu dan songket berwarna kuning turut dirampas.
“Motif perhimpunan kesemua suspek di depan istana itu masih dalam siasatan,” ujarnya. – UTUSAN










