OPR dijangka kekal 2.75 peratus sepanjang 2026 - Utusan Malaysia

OPR dijangka kekal 2.75 peratus sepanjang 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang tahun hadapan bagi memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kestabilan harga terus terpelihara.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pengekalan OPR jelas menunjukkan keperluan campur tangan BNM untuk menstabilkan pertumbuhan ekonomi. 

“Memandangkan pihak Rizab Persekutuan (Fed) dijangka menurunkan kadar faedah pada Disember dan 2026, maka jurang antara Kadar Dana Persekutuan Amerika Syarikat dan OPR akan mengecil. 

“Oleh itu, aset kewangan ringgit dilihat semakin kompetitif dan ini akan menggalakkan kemasukan modal asing ke Malaysia dan sekaligus akan menyokong nilai ringgit pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurutnya, pada suku ketiga pertumbuhan ekonomi melonjak ke paras 5.2 peratus berbanding 4.4 peratus pada separuh tahun pertama 2025. 

“Justeru, pemotongan OPR pada Julai lalu dilihat telah mencukupi bagi membantu dalam menstabilkan ekonomi negara,” katanya.

BNM membuat keputusan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhir tahun ini, kelmarin.

Ini merupakan kali ketiga berturut-turut bank pusat mengekalkan kadar tersebut sejak Julai lalu, selaras dengan unjuran pasaran. 

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, terdapat ruang bagi BNM untuk melonggarkan dasar monetari pada 2026 sekiranya persekitaran ekonomi global kekal mencabar dan memberi kesan ketara terhadap prestasi eksport negara.

Katanya, tekanan daripada kelembapan perdagangan dunia boleh menjejaskan sektor eksport Malaysia, sekali gus memberi ruang kepada BNM untuk mempertimbangkan langkah pelonggaran bagi menyokong pertumbuhan domestik.

“Sudah pasti terdapat ruang untuk pelonggaran dasar pada 2026 sekiranya ekonomi global terus mencabar dan menjejaskan eksport kita dengan ketara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–AS yang dimeterai baru-baru ini telah membawa kestabilan kepada semua pihak berkepentingan termasuk pelabur asing. 

“Perkembangan tersebut dilihat sebagai faktor positif yang mampu menyokong keyakinan pasaran dan aliran masuk pelaburan langsung asing ke dalam negara,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata, kadar dasar Malaysia yang rendah memberi kesan positif kepada ekonomi negara dan ia bukanlah perbandingan yang adil dengan negara jiran kita, seperti Thailand, Indonesia dan Filipina yang mempunyai ekonomi lebih besar dan populasi yang lebih besar. 

“Perkara penting ialah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Malaysia terus berkembang daripada yang kedua di rantau ini selepas Singapura, dan merapatkan jurang tersebut. 

“Ia sememangnya meletakkan Malaysia di tempat yang baik untuk menarik pelaburan asing dan mengukuhkan mata wang kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN