Operasi pemindahan pelajar, pensyarah UUM di Hat Yai ditangguh

Operasi pemindahan pelajar, pensyarah UUM di Hat Yai ditangguh

KUMPULAN pelajar dan pensyarah UUM yang terkandas di hotel penginapan mereka ekoran banjir melanda Hat Yai di Wilayah Songkhla, Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Operasi pemindahan 40 orang pelajar termasuk empat pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terperangkap banjir di Hat Yai, Thailand ke tempat selamat ditangguhkan ekoran hujan lebat melanda bandar itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, UUM mengambil maklum perkara itu melalui koordinasi antara Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dengan pihak berkuasa negara itu.

“Operasi pemindahan mereka hanya akan dilaksanakan secepat mungkin apabila hujan mulai reda,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Seramai 40 pelajar serta empat pensyarah pengiring dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) yang mengikuti program Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 terkandas di Hat Yai sejak 22 November lalu.

Ahmad Martadha berkata, kebajikan dan keselamatan semua pelajar serta staf adalah keutamaan UUM dan pihak universiti memantau keadaan semasa secara berterusan dan berhubung rapat dengan Konsulat Malaysia di Songkhla bagi memastikan bantuan dan sokongan dapat diberikan segera.

“Setakat ini, kesemua pelajar dan pensyarah pengiring dilaporkan dalam keadaan selamat, dan universiti sedang menyelaras tindakan yang perlu bagi memastikan urusan kumpulan ini dapat diteruskan dengan baik setelah keadaan kembali pulih,” katanya.

Akhbar ini pada Ahad lalu melaporkan, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang berkunjung ke Hat Yai sempena cuti hujung minggu terperangkap di hotel masing-masing susulan banjir.

Antara lokasi yang terkesan adalah di kawasan sekitar Kim Yong Market, Lee Garden Plaza, serta jajaran jalan utama menuju ke Central Hatyai yang sering menjadi persinggahan pelancong dari Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN