Operasi Aerotrain dihenti sementara 9 malam - 7 pagi bermula esok

Operasi Aerotrain dihenti sementara 9 malam – 7 pagi bermula esok

MOHD. Izani Ghani bercakap ketika sesi taklimat media untuk operasi Aerotrain. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Sistem perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabagsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dihentikan sementara pada pukul 9 malam hingga 7 pagi bermula esok sehingga 15 Disember ini bagi memberi laluan kepada pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem tren itu.

Langkah berstruktur itu merupakan antara inisiatif menerusi pelan tindakan komprehensif dilaksanakan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) bagi meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan itu sepanjang tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP).

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, pelan dibangunkan bersama kontraktor dan perunding dilantik itu melibatkan tiga peringkat berstruktur bagi menangani kelemahan sistem aerotrain secara sistematik.

“Sepanjang tempoh ini, perkhidmatan bas penuh akan disediakan bagi memastikan sambungan tanpa gangguan antara terminal utama dan bangunan satelit.

“Untuk memberikan keselesaan tambahan kepada penumpang, lebih banyak penerbangan berlepas dan tiba akan ditempatkan di bangunan terminal utama bagi mengurangkan keperluan pertukaran antara terminal,” katanya pada sesi taklimat media di sini hari ini.

Mohd. Izani berkata, pelan tindakan komprehensif itu merupakan langkah tegas memulihkan keyakinan awam terhadap Aerotrain melalui pendekatan terancang, kerjasama pengawalseliaan dan komunikasi terbuka.

“Fokus kami kekal bagi memastikan Aerotrain memberikan tahap kebolehpercayaan dan keselamatan di pintu masuk antarabangsa seperti KLIA.

“Pelan itu membolehkan MAHB menangani punca utama gangguan yang berlaku sebelum ini secara sistematik, seterusnya memastikan keselamatan dan kepuasan penumpang pada tahap terbaik,” katanya.

Menerusi pelaksanaan pelan komprehensif itu, sebanyak tiga peringkat digariskan yang mana langkah pertama memberi tumpuan untuk mengenal pasti dan membetulkan ketidaksempurnaan sistem selain mencegah insiden berulang berlaku.

Langkah itu turut melibatkan pelaksanaan naik taraf teknikal dan perisian yang dirancang, selain melaksanakan pemeriksaan terperinci terhadap keseluruhan sistem tren berkenaan.

“Peringkat kedua berpusat kepada proses validasi termasuk ujian operasi simulasi serta penambahbaikan seperti kemas kini perisian, pelarasan semula komponen dan ujian tekanan masa nyata bagi meningkatkan keteguhan sistem.

“Peringkat akhir melibatkan operasi percubaan yang dipantau untuk mengesahkan kesediaan serta kestabilan operasi sistem sebelum perkhidmatan penuh disambung semula,” katanya.

Mohd. Izani berkata, sebagai jaminan tambahan, penilaian bebas turut dilaksanakan bagi menjalankan audit teknikal dan operasi yang komprehensif.

Katanya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga akan melakukan pemeriksaan keselamatan secara rasmi setelah pelan berkenaan selesai.

“Jadi, MAHB akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan, APAD dan semua pihak berkepentingan sepanjang tempoh pelaksanaan pelan itu bagi meningkatka keyakinan awam terhadap aerotrain,” katanya.

Untuk rekod, sejak kembali beroperasi pada 1 Julai lalu, sistem Aerotrain di KLIA telah memberi perkhidmatan kepada kira-kira tujuh juta penumpang selain melengkapkan lebih 53,000 perjalanan ulang-alik dengan mencatatkan Ketersediaan Perkhidmatan Operasi (OSA) sebanyak 98.41 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN