OKU rentung dalam kebakaran rumah

OKU rentung dalam kebakaran rumah

MAYAT mangsa dikeluarkan dalam kejadian kebakaran di Kampung Batu Hampar, Rembau, semalam.-GAMBAR/IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

REMBAU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental ditemukan rentung selepas rumah didiaminya di Kampung Batu Hampar di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.

Mangsa Mohd. Alfian Syahrizal Khaidir, 25, dilaporkan terperangkap dalam rumahnya yang musnah 100 peratus dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Khairul Yahaya berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri Sembilan kira-kira pukul 10.57 malam.

“Mengikut saksi, bapa mangsa sedang tidur dan terjaga ketika terdengar bunyi beberapa letupan kecil dan mula melihat api bermula dari bilik mangsa.

“Bagaimanapun, bapa mangsa berjaya menyelamatkan diri dan hanya melecur dibahagian kepala manakala mangsa terperangkap dalam rumahnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula kira-kira 15-20 minit sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

” Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati api sedang marak, namun kebakaran dapat dikawal sekitar pukul 11.20 malam,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Khairul berkata, mayat mangsa berjaya ditemukan di kawasan bilik mangsa pada pukul 11.45 malam. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Katanya, operasi ditamatkan sekitar pukul 12.50 tengah malam dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN