KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan RM1.938 bilion untuk perbelanjaan mengurus dalam Belanjawan Terengganu 2026 berbanding RM1.887 bilion pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbelanjaan mengurus tersebut termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta dengan hasil dianggarkan berjumlah RM1.998 bilion.
Beliau berkata, sektor sosial kekal menerima peruntukan terbesar iaitu RM323.80 juta atau 72 peratus dalam Belanjawan 2026 itu yang bertemakan Memacu Potensi, Melonjak Prestasi.
Katanya, peruntukan untuk sektor ekonomi ditambah kepada RM92.84 juta atau 20.6 peratus berbanding empat peratus dalam Belanjawan Terengganu 2025 manakala bagi sektor pentadbiran pula sebanyak RM33.37 juta atau 7.4 peratus.
“Kerajaan negeri juga komited meningkatkan hasil janaan negeri kepada RM288.59 juta iaitu RM85.36 juta daripada Hasil Cukai dan RM203.23 juta daripada Hasil Bukan Cukai di samping RM1.709 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil, menjadikan keseluruhan hasil berjumlah RM1.998 bilion, iaitu surplus sebanyak tiga peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan akhbar yang diedarkan kepada petugas media selepas pembentangan berkenaan, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri komited meningkatkan hasil janaan negeri namun pelaksanaan pelbagai dasar fiskal, program dan projek adalah menekankan rangsangan pertumbuhan ekonomi serta sosial seimbang.
Justeru itu, kata beliau, fokus Belanjawan Terengganu 2026 adalah untuk memperkemas tadbir urus kerajaan negeri, menstruktur daya tahan ekonomi dan melestarikan keperluan sosial.
Katanya, ia bagi mencapai sasaran peningkatan hasil janaan negeri yang lebih tinggi, ekonomi bertumbuh antara 3.4 peratus hingga 4.2 peratus dan Terengganu terus mengungguli di tangga teratas dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia. – UTUSAN










