PETALING JAYA: Cadangan untuk mencalonkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar sebagai Menteri Besar Selangor perlu direalisasikan melalui saluran sepatutnya tanpa menamatkan perkhidmatan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), semata-mata untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil (PRK).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, beliau secara prinsip menyokong cadangan untuk memberikan tanggungjawab lebih besar kepada Nurul Izzah berdasarkan keupayaan dan pengalamannya, namun menentang sebarang ‘langkah songsang’.
Beliau berkata, Nurul Izzah diakui mempunyai ketokohan untuk menjadi seorang pemimpin besar.
Katanya, PKR tidak seharusnya mengulangi sejarah ‘Langkah Kajang’ bagi membolehkan Nurul Izzah bergelar ADUN seterusnya menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari.
“Saya tidak setuju dengan Langkah Kajang dan sebagainya. Maksudnya, saya tak setuju jika ada ADUN di Selangor terpaksa letak jawatan, yang sudah itu sudahlah.
“Dulu Langkah Kajang pun mula-mula Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu jadi Menteri Besar tapi tak dapat, kemudian dinamakan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga tak kesampaian, akhirnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik.
“Tak perlu suruh orang letak jawatan, langkah-langkah ini semua tak betul, langkah songsang semua ini. Cara yang betul tunggu pilihan raya sebenar akan datang,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Dalam sebuah audio siar yang disiarkan kelmarin, Amirudin mengakui mencadangkan Nurul Izzah untuk dilantik menggantikannya sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, sekiranya beliau diberikan tanggungjawab lebih besar di peringkat Persekutuan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri yang juga Presiden PKR berkata, cadangan itu hanyalah pandangan peribadi Amirudin dan perkara itu tidak pernah dibincangkan.
Hassan turut mengkritik tindakan Amirudin yang secara terbuka berkongsikan perkara yang belum dibincangkan di peringkat parti mahupun dengan Presiden sendiri.
Katanya, walaupun Amirudin memegang jawatan Menteri Besar dan Naib Presiden PKR, beliau tidak boleh membuat sebarang cadangan dalam perkara-perkara dasar sebegitu.
Katanya, sebagai orang lama dalam PKR, beliau sendiri tidak mengetahui mengenai cadangan tersebut, sebaliknya hairan mengapa ia dikongsikan secara terbuka. – UTUSAN










