Northport pecah rekod kendalian kontena tertinggi pada Oktober - Utusan Malaysia

Northport pecah rekod kendalian kontena tertinggi pada Oktober

OPERASI kontena yad di Northport.- GAMBAR IHSAN NORTHPORT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd (Northport), ahli Kumpulan MMC, meneruskan momentum prestasi cemerlangnya dengan mencatat jumlah kendalian kontena bulanan tertinggi dalam sejarah syarikat pada Oktober 2025, mengatasi rekod terdahulu yang dicapai tahun lalu.

Kejayaan ini direkodkan dengan jumlah pengendalian sebanyak 366,131 Unit Bersamaan 20 Kaki (TEU) pada Oktober 2025, mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 365,558 TEU yang dicapai pada Ogos 2024.

Pada bulan sebelumnya, Northport turut mencatat rekod baharu bulanan bagi pengendalian kargo konvensional, dengan jumlah kendalian sebanyak 1,327,883 Freight Weight Tonnes (FWT), mengatasi rekod terdahulu iaitu 1,277,409 FWT yang dicapai pada Oktober 2024.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Nik Muzani Nik Abdul Aziz berkata, pencapaian dua rekod bulanan berturut-turut bagi segmen kontena dan kargo konvensional ini mencerminkan keupayaan syarikat dalam memberikan perkhidmatan yang cekap dan boleh dipercayai, sekali gus meraih kepercayaan dan keyakinan pelanggan.

“Kami percaya momentum ini meletakkan Northport di landasan yang betul ke arah satu lagi prestasi kukuh dalam pengendalian kargo kontena dan konvensional tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagi tempoh Januari sehingga Oktober 2025, Northport telah merekodkan jumlah pengendalian kontena sebanyak 3,129,491 TEU, iaitu pertumbuhan 2.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Komposisi segmen juga mencatatkan pertumbuhan 2.9 peratus bagi kargo tempatan dan 1.5 peratus bagi kargo transhipment, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Prestasi semasa ini terus menunjukkan potensi kukuh bagi Northport, dengan beberapa inisiatif dan projek sedang dijalankan untuk meningkatkan lagi kapasiti terminal dan kecekapan operasi.

Projek menaik taraf dermaga yang sedang dijalankan dijangka membolehkan syarikat mengendalikan kapal bersaiz lebih besar, sekali gus memperkukuh daya saing Northport di rantau ini.

Sementara itu, ketibaan empat buah kren dermaga baharu pada 2026 bakal meningkatkan
produktiviti serta mengoptimumkan prestasi operasi bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang Northport.

Nik Muzani berkata, dengan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan, pihaknya yakin dapat mengekalkan prestasi yang konsisten serta memberikan perkhidmatan yang boleh
dipercayai kepada pelanggan.

“Pencapaian ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa dedikasi dan semangat kerja berpasukan yang tinggi daripada warga kerja kami.

“Sinergi dalam TeamNorthport membuktikan bahawa tiada cabaran yang terlalu besar apabila kita bekerjasama ke arah matlamat yang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN