KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aina Abdul, menyifatkan figura, Noh Salleh, sebagai seorang abang dalam industri muzik, memandangkan kedua-duanya bergerak sebagai artis independen.
Menurut Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 32, beliau pada awalnya terkejut apabila vokalis kumpulan Hujan itu mengenalinya selepas Aina memuat naik rakaman menyanyikan lagu Sang Penikam di Instagram suatu ketika dahulu.
“Noh Salleh ibarat abang saya dalam industri, beliau sudah melalui bermacam perkara. Jadi beliau banyak berkongsi nasihat yang sangat bernas kepada saya.
“Pada awalnya saya pun tidak percaya, macam mana dia kenal saya pun itu sesuatu yang pelik. Kemudian kami banyak ‘jamming’ dan kadang main pickleball.
“Kami sama-sama daripada scence Indie, mungkin itu yang membuatkan beliau boleh ‘klik’ dengan saya walaupun genre muzik kami berbeza,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu turut mempunyai perancangan menghasilkan lagu duet bersama Noh untuk projek akan datang.
“Perancangan dan impian nak menyanyikan lagu duet dengan Noh memang ada, kalau boleh lagu itu merupakan hasil tulisan saya sendiri.
“Tapi Noh ialah figura yang sangat berseni dan saya tak boleh main-main dengan karya itu. Saya pun menunggu hari untuk menyanyikan duet dengan lagu baru bersama Noh.
“Mungkin ramai yang kenal Noh sebagai vokalis Hujan, tapi lagu solo beliau banyak menunjukkan betapa geniusnya Noh sebagai komposer. Saya harap peminat saya yang sebelum ini tidak terdedah dengan karya Noh, bedahlah lagu beliau,” katanya.
Mengulas mengenai persembahan istimewanya bersama Noh di pentas Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) baru-baru ini, Aina mengakui dirinya amat terharu apabila dijemput menyanyikan Sang Penikam, sebuah lagu yang cukup bermakna secara peribadi.
“Ceritanya memang saya sudah beli tiket ke konsert Noh. Tiba-tiba dia jemput saya buat persembahan sekali dan saya jual tiket itu kepada peminat.
“Saya tak sangka Noh ajak saya berduet untuk lagu Sang Penikam, sebuah lagu yang saya anggap keramat dan penting dalam hidup saya. Kami berlatih sekali sahaja. Petang berlatih, malam terus buat persembahan,” katanya.
Sebelum ini, penampilan Aina di konsert Noh bersama MPO di Dewan Filharmonik tular di media sosial apabila rakaman persembahan Sang Penikam itu mencuri perhatian dan dipuji ramai yang mengagumi keserasian dua figura seni tersebut. -UTUSAN










