NKMH Media, Adello bekerjasama pacu transformasi pengiklanan digital di Malaysia

NKMH Media, Adello bekerjasama pacu transformasi pengiklanan digital di Malaysia

NISSA Rosli (tiga dari kiri) dan Kelvin Tan (tiga dari kanan) bersama Ketua Pengarah Operasi NKMH, Hafiz Che Yahaya (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah Media NKMH, Mohd. Affandi Abdullah (kiri) selepas Majlis Menandatangani emorandum Persefahaman (MoU) antara NKMH Media Sdn. Bhd. bersama Adello Malaysia Sdn. Bhd. dan Adello Group AG di Bamboo Hills, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: NKMH Media Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Adello Malaysia Sdn. Bhd. dan Adello Group AG dalam langkah penting ke arah memajukan ekosistem pengiklanan digital Malaysia.

Kerjasama itu menggabungkan keupayaan teknologi pengiklanan global (AdTech) dengan kepakaran pasaran tempatan bagi menawarkan penyelesaian pengiklanan berasaskan data, telus dan pintar untuk agensi kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta jenama korporat di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif NKMH Media, Nissa Rosli berkata, kerjasama tersebut mewakili penyatuan strategik antara teknologi, capaian pasaran dan kepercayaan

“Bersama-sama, kami akan membantu organisasi di Malaysia memanfaatkan kekuatan pengiklanan programatik dan kecerdasan data untuk mencapai pertumbuhan yang boleh diukur.

“Melalui Adello, kami menyediakan Performance Advertising Solutions, iaitu penyelesaian pemasaran berasaskan prestasi yang memastikan setiap perbelanjaan iklan menghasilkan hasil sebenar,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara ketiga-tiga pihak di sini, hari ini.

Beliau berkata, melalui MoU dan kerjasama strategik itu, NKMH menyasarkan peningkatan sekitar 10 peratus hingga 15 peratus pelanggan baharu.

“Fokus kami bukan hanya kuantiti, tetapi kepada kualiti pelanggan dan nilai jangka panjang

“Bagi kami, kerjasama ini bukan pelaburan tunai semata-mata, tetapi satu bentuk perkongsian strategik untuk mengembangkan industri pemasaran berasaskan AI di Malaysia dan rantau Asia Tenggara,” ujarnya.

Kerjasama tersebut menghimpunkan kekuatan ketiga-tiga pihak iaitu Adello Group AG, yang berpusat di Switzerland, menyumbangkan platform pengiklanan programatiknya yang memenangi anugerah dan dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) serta pembelajaran mesin.

Adello Malaysia menyediakan sokongan operasi serantau, pelaksanaan pasaran, dan perkhidmatan pelanggan, manakala NKMH Media membawa akses pasaran yang kukuh, keupayaan kreatif, serta hubungan yang mantap dengan institusi kerajaan dan PKS tempatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Adello APAC, Kelvin Tan berkata, syarikat berada pada kedudukan kukuh untuk meningkatkan standard pengiklanan digital dan memacu penerimaan teknologi AdTech di rantau ini.

“Pencapaian ini didorong oleh pandangan pasaran daripada NKMH Media dan kepakaran global Adello,” katanya.

Menurut beliau, Adello membangunkan dua penyelesaian utama berasaskan AI bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan strategi pemasaran digital.

“AI Penonton mengenal pasti minat dan corak tingkah laku pengguna melalui interaksi digital, sekali gus membolehkan kempen disasarkan dengan lebih tepat.

“AI Generatif pula menyediakan penyelesaian automatik seperti chatbot, penjanaan kandungan dan pengoptimuman prestasi kempen, membantu PKS meningkatkan kecekapan operasi,” jelasnya.

Tambahnya, Adello turut mengaplikasikan algoritma pengiraan berfrekuensi tinggi bagi mengoptimumkan iklan digital secara masa nyata di platform media utama.

“Teknologi ini membolehkan kempen disampaikan dengan lebih pantas, tepat dan berimpak tinggi kepada sasaran audiens, sekali gus memaksimumkan pulangan pelaburan pelanggan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×