MELAKA: Negeri Sembilan menepati ramalan selaku pilihan utama apabila menang mudah mengatasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 pada saingan hari pertama acara regu lelaki di Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2025 Edisi Keempat di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, petang tadi.
Dibarisi tekong, Haziq Hairul Nizam, Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan Zulefendi Sumari (apit kiri) menang 15-11 dan 15-7 dalam saingan Kumpulan C.
ATM dibarisi Muhammad Nazmi Mohd. Najib (tekong), Madlee Mr. Anda (apit kanan) dan Muhamad Umar Mohamed (apit kiri).
Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Shahir Nasrudin berkata, barisan pemainnya sudah bersedia untuk menjuarai kejohanan ini selepas tiga edisi sebelum ini sekadar mara ke separuh akhir.
“Kali ini kita buat persiapan lebih rapi hampir sebulan untuk merangkul kejohanan yang tidak pernah dikecapi dan kemenangan mudah ke atas ATM membuktikan kesungguhan kami,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang membuat penampilan pertama membuka langkah cemerlang apabila menewaskan Sabah 2-0 dalam saingan Kumpulan E.
Gandingan tekong kebangsaan, Mohammad Syahir Mohd. Rosdi, Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Aekkasit Naphom (apit kanan) mudah mengatasi regu Sabah dibarisi Irwanizan Seruji (tekong), Jaxon Amputong (apit kanan) dan Sarip Shahari Musiri (apit kiri) 15-11 dan 15-9.
Sementara itu, dalam perlawanan Kumpulan G, Kedah menewaskan Putrajaya 15-12 dan 15-9 diikuti Penjara menang mudah ke atas KPT-MSSM 15-7 dan 15-12 dalam saingan Kumpulan F.
Selangor pula menepati ramalan mudah menewaskan Johor 15-10 dan 15-9 dalam aksi Kumpulan D manakala Pahang terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menjinakkan Bomba 15-6, 16-17 dan 15-13. – UTUSAN










