Negara ASEAN disaran perkukuh keterangkuman IP serantau

Negara ASEAN disaran perkukuh keterangkuman IP serantau

RIDUAN Rubin (tengah) menyerahkan cenderahati kepada Suon Vichea (kanan) selepas merasmikan Mesyuarat ke-77 Kumpulan Kerja ASEAN Mengenai Kerjasama Harta Intelek (AWGIPC) di Bayan Lepas, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Negara-negara anggota ASEAN disaran memperkukuh keterangkuman harta intelek (IP) serantau dengan memperluas kesedaran serta memperkemas prosedur bagi memudahkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memanfaatkan perlindungan IP secara lebih meluas dan berkesan.

Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Riduan Rubin berkata, proses yang lebih jelas dan mudah akan membantu para inovator serta perniagaan kecil menggunakan perlindungan IP secara lebih strategik di seluruh rantau ini.

“Agenda pengkomersialan dan penilaian harta intelek juga perlu diberi tumpuan serius memandangkan ASEAN memiliki kekayaan kreativiti yang besar, namun, mekanisme penjanaan nilai masih berpecah-pecah dan tidak seimbang antara negara anggota.

“Dalam hal ini, ASEAN memerlukan standard penilaian yang lebih mantap, alat pembiayaan inovasi serta dasar yang boleh menghubungkan pencipta IP kepada pasaran modal.

“Ini penting bagi memastikan harta intelek bukan sahaja dilindungi, tetapi juga diaktifkan sebagai pemangkin ekonomi,” katanya pada Mesyuarat ke-77 Kumpulan Kerja ASEAN Mengenai Kerjasama Harta Intelek (AWGIPC) yang turut dihadiri oleh Pengerusi AWGIPC, Suon Vichea di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Riduan berkata, Malaysia kini sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkukuh ekosistem harta intelek termasuk pembangunan rangka kerja penilaian IP yang kukuh dengan kerjasama institusi kewangan bagi menyokong pembiayaan berasaskan aset IP.

Katanya, dalam hal ini, adalah penting untuk semua negara anggota ASEAN mengintegrasikan harta intelek dalam agenda kemampanan ASEAN dengan memberi tumpuan kepada inovasi teknologi hijau, reka bentuk lestari serta model perniagaan mesra alam yang bukan sahaja menguntungkan, tetapi juga mampu memelihara bumi.

Dalam pada itu, Riduan memberitahu, Pulau Pinang menjadi contoh negeri yang berjaya menggabungkan elemen warisan dan kemajuan apabila muncul antara penyumbang utama permohonan IP di Malaysia dengan lebih 1,300 permohonan direkodkan antara Januari hingga September tahun ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN