Nahas FRU: Kementerian berkaitan disyor ambil tindakan susulan sewajarnya

Nahas FRU: Kementerian berkaitan disyor ambil tindakan susulan sewajarnya

Anthony Loke Siew Fook
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan disyor untuk mengambil tindakan susulan yang sewajarnya berhubung langkah penambahbaikan kenderaan kerajaan, susulan nahas jalan raya di Teluk Intan yang meragut sembilan nyawa anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun Kementerian Pengangkutan (MOT) boleh menyediakan laporan dan syor berkaitan, namun pelaksanaan sebenar bergantung kepada kementerian yang berkaitan.

“Saya telah bentangkan laporan itu kepada Jemaah Menteri minggu lalu sebelum ia didedahkan kepada umum.

“Justeru, saya memohon kerjasama daripada kementerian-kementerian terlibat, khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan untuk ambil tindakan susulan,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan MOT di sini hari ini.

Beliau turut mengakui bahawa pelaksanaan cadangan itu bukan satu perkara mudah kerana ia melibatkan proses seperti naik taraf kenderaan sedia ada atau perolehan aset baharu.

“Pada akhirnya yang perlu mengambil tindakan ialah kementerian-kementerian yang terlibat iaitu KDN dan juga MINDEF, tentu lah ada cabarannya dan memerlukan masa untuk dilaksanakan sebab ini memerlukan pelbagai langkah mungkin kenderaan baru dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, laporan akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berhubung kemalangan maut membabitkan lori membawa muatan batu kerikil dan lori FRU di Teluk Intan pada 13 Mei, mendapati punca utama kemalangan adalah akibat muatan berlebihan (lebih muatan) pada lori tipper yang membawa batu kerikil melebihi 70 peratus daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan.

Keadaan ini menyebabkan kehilangan kawalan kenderaan dan pelanggaran dengan lori FRU yang sedang berkonvoi pulang ke Ipoh.

Laporan turut menjelaskan bahawa tiada kegagalan mekanikal dikesan pada sistem brek atau stereng, sebaliknya kemalangan berpunca daripada faktor operasi dan pematuhan, termasuk kelemahan pengawasan dalaman syarikat pengendali lori serta ketiadaan sistem pemantauan GPS yang berfungsi.

Dalam perkembangan lain, Anthony Loke berkata, MOT yakin pemilihan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) sebagai hab pemindahan sementara global (transshipment) bagi syarikat perkapalan Maersk, bakal menyumbang kepada pertumbuhan seterusnya pelabuhan di selatan tanah air itu.

Menurutnya, ketika ini, kedudukan PTP semakin meningkat dengan pertumbuhan pergerakan kontena menunjukkan peningkatan dua angka.

Justeru, pihaknya yakin PTP juga akan menyertai Pelabuhan Klang sebagai antara 10 pelabuhan utama di dunia tidak lama lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN