MyGOV ‘super app’, gabung perkhidmatan digital kerajaan

MyGOV ‘super app’, gabung perkhidmatan digital kerajaan

GOBIND SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Digital sedang membangunkan aplikasi kerajaan, MyGOV Malaysia yang mengintegrasikan semua perkhidmatan digital kerajaan.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, platform menggunakan MyDigital ID itu akan melibatkan rakyat, termasuk perkhidmatan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, pelaksanaan dibuat secara berfasa, mengambil kira ketersediaan agensi dan tahap integrasi setiap perkhidmatan terutama bagi yang memerlukan integrasi teliti.

“Platform ini menggunakan MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan identiti digital yang selamat.

“Ia dibuat secara berfasa memandangkan setiap sistem mempunyai keperluan teknikal yang berbeza termasuk perkhidmatan transaksi pembayaran yang memerlukan integrasi lebih teliti bagi memastikan keselamatan dan keserasian sistem,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berkaitan cadangan untuk mewujudkan satu super aplikasi merangkumi semua aplikasi agensi kerajaan seperti MyBorderPass, MyJPJ yang hanya boleh diakses melalui MyDigital ID.

Tambah beliau, MyGOV menyediakan 36 perkhidmatan secara integrasi melibatkan 13 agensi kerajaan termasuk lapan perkhidmatan MyJPJ.

“Selaras dengan pelaksanaan berfasa, kementerian kini sedang menambah 16 lagi perkhidmatan yang sedang melalui proses integrasi teknikal. Ia termasuk integrasi dengan Portal Manfaat yang akan membantu rakyat menyemak kelayakan bantuan atau inisiatif kerajaan.

“Kementerian turut melaksanakan inisiatif Citizen Lab, iaitu sesi libat urus langsung bersama rakyat untuk mengenal pasti pain points sebenar.

“Melalui Citizen Lab, maklum balas daripada rakyat digunakan untuk menentukan perkhidmatan yang perlu diutamakan, menambah baik reka bentuk antara muka dan pengalaman pengguna bagi memastikan aplikasi ini dibina mengikut keperluan sebenar rakyat,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×