KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Mubarak Majid, 69, mengaku terkilan kerana tidak sebelum ini berkesempatan menziarahi pelakon, Allahyarham Dharma Harun Al Rashid
Menurut pelakon drama Seindah Takdir Cinta itu, beliau pernah merancang untuk melawat arwah bagaimanapun hasrta itu tidak tercapai ekoran kekangan masa.
“Saya kecewa kerana tidak sempat melawat selepas menerima khabar yang beliau tidak sihat.
“Memang saya ada merancang untuk berjumpa arwah tetapi disebabkan jadual penggambaran agak padat, saya tangguh hasrat itu.
“Kemudian saya diberitahu arwah berlakon dalam sebuah drama terbitan A.Aida Peoduction, jadi saya menyangka beliau sudah sihat.
“Namun tak sangka beliau semalam dijemput Ilahi,” katanya yang ditemui di Masjid Abu Ubaidah Sri Rampai, di sini.
Aktor yang dikenali menerusi filem Adik Manja itu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya sekitar pukul 9.10 malam, semalam.
Berita duka itu dikongsi anaknya, Muhammad Al Syafiq menerusi satu hantaran di Instastory.
Jenazah Allahyarham sekarang ini ditempatkan di masjid berkenaan untuk dimandikan dan disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raidhatul Sakinah, Taman Selaseh tengahari nanti.
Mubarak dalam masa yang sama menyifatkan Allahyarham sebagai pelakon hebat yang sukar diganti.
“Sukar untuk kita cari pelakon yang betul-betul berbakat dan berkemahiran seperti arwah. Dharma sememangnya pelakon yang hebat.
“Dan tentunya, menjadi impian saya, kalau boleh mahu juga berlakon bersama beliau. Tapi itulah, tak berkesempatan, tak ada rezeki.
“Semoga Allah ampunkan dosanya dan rohnya ditempatkan bersama golongan beriman,” ujarnya. UTUSAN










