RUU pemisahan peranan AG, Pendakwa Raya dibentang tahun depan

RUU pemisahan peranan AG, Pendakwa Raya dibentang tahun depan

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) akan dibentangkan pada mesyuarat kedua Parlimen tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pembentangan RUU itu sekali gus membuka laluan kepada pemisahan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya.

“Ia dibuat bertujuan meminda pelbagai undang-undang berbangkit daripada pemisahan peranan penasihat dan pendakwaan Peguam Negara,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berhubung status terkini usaha kerajaan memisahkan Pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya sama ada kedua-dua jawatan itu akan dipertanggungjawabkan kepada Parlimen.

Terdahulu dalam jawapan bertulis itu, Azalina berkata, jemaah menteri pada 10 September lalu bersetuju memilih model pemisahan sepenuhnya, di mana peranan AG dan Pendakwa Raya akan dipegang dua individu berbeza dengan kedudukan setara

Keputusan ini dibuat selepas dapatan daripada Pasukan Petugas Khas Kajian Perbandingan, susulan lawatan kajian empirikal ke Kanada, Australia dan United Kingdom (UK).

Tambah Azalina, selepas RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) berkuat kuasa, ia akan disusuli dengan RUU Saraan dan RUU Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) yang berbentuk omnibus.

Dalam pada itu, Azalina berkata kerajaan belum membuat keputusan muktamad sama ada AG dan Pendakwa Raya akan dipertanggungjawabkan secara langsung kepada Parlimen sebagai sebahagian daripada reformasi undang-undang dan institusi negara.

“Persoalan sama ada Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan bertanggungjawab terus kepada Parlimen bagi menjamin ketelusan proses pendakwaan, tiada sebarang keputusan muktamad dibuat.

“Bagaimanapun, kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan Ahli Parlimen dan pihak berkepentingan supaya sebarang reformasi yang dilaksanakan akan dapat memperkukuh prinsip ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN