Sebanyak 10,000 sekolah di seluruh negara bakal selesai melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS) menjelang suku ketiga tahun depan, dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap penggunaan internet secara berhemah dan selamat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat pertengahan Oktober tahun ini, kempen berkenaan telah dijalankan di 6,000 sekolah di seluruh negara, termasuk hampir 400 sekolah di Pahang.
“Hasrat saya menjelang tahun depan, kita dapat menamatkan pelaksanaan di semua sekolah, bukan sahaja di Pahang tetapi di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan
Kempen Internet Selamat Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Raub Indah, Raub baru-baru ini.
Fahmi berkata, kementerian juga akan melantik Ikon Kapten Kadet di sekolah sebagai pemudah cara untuk menyampaikan maklumat berkaitan keselamatan internet kepada pelajar secara berkala ketika perhimpunan mingguan.
“Mereka akan menerangkan isu semasa termasuk ancaman jenayah siber seperti ‘scam’.
“Selain itu mereka juga akan berkongsi dasar kerajaan seperti langkah mengehadkan penggunaan media sosial kepada individu bawah 16 tahun,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan projek Point of Presence (PoP) di 170 sekolah di Pahang bermula Januari 2026 bagi memperluas capaian internet berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar.
“Projek ini baru selesai proses tender dan akan dimulakan tidak lama lagi. Sebelum ini, sebanyak 17 sekolah di bawah fasa pertama telah siap dilaksanakan,” jelasnya. – UTUSAN










